Piala Sudirman: Barisan pemain Malaysia pamer aksi cemerlang - Frost

Bernama
Mei 13, 2015 10:44 MYT
FROST: Barisan pemain Malaysia pamer aksi cemerlang. -Gambar fail
Pengarah teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen berpuas hati dengan prestasi cemerlang yang ditunjukkan pemain negara pada Kejohanan Piala Sudirman, di Dongguan, China.
Beliau berkata diundi dalam Kumpulan 1D bersama juara tiga kali Korea Selatan dan India adalah sukar bagi skuad negara, tetapi semua pemain telah berusaha untuk mengatasi halangan.
"Kami diundi dalam kumpulan yang sukar dan kami selamat mengharungi cabaran. Kejutan yang kami lakukan ke atas Korea Selatan benar-benar cemerlang sementara aksi menentang India begitu sengit seperti diramalkan.
"Kami menduduki carta teratas dalam kumpulan itu dan kami melangkah ke pusingan suku akhir. Kami amat gembira untuk mencapai prestasi itu.
"Kami akan bersikap tenang ketika cabaran menjadi semakin sukar dan sengit. Kami akan berehat, relaks dan membuat persediaan bagi perlawanan seterusnya. Kami cuma perlu tahu undiannya," kata beliau.
Mengulas mengenai skuad wanita, Frost berpuas hati dengan prestasi mereka walaupun mereka tidak menyumbang sebarang mata kepada pasukan selepas dua perlawanan.
"Ini apa yang ada dan kami beraksi mengikut kemampuan kami. Saya fikir pasangan beregu wanita bertarung dengan cemerlang dan Tee Jing Yi juga beraksi cukup baik dalam perlawanan pertama menentang Saina (Nehwal).
"Pujian harus diberikan kepada pemain wanita. Ia tugas yang amat sukar tetapi mereka dapat melakukannya dengan baik," katanya.
Skuad badminton Malaysia mengungguli Kumpulan 1D selepas memenangi perlawanan masing-masing menentang Korea Selatan dan India 3-2 untuk mara ke suku akhir.
Pasangan beregu campuran Chan Peng Soon/Goh Liu Ying dua kali menjadi penyelamat bagi pasukan negara apabila berjaya memperoleh mata kemenangan dalam kedua-dua perlawanan.
#badminton #Frost #Piala Sudirman
;