Piala Sudirman: Atasi India, Malaysia lolos ke peringkat kalah mati

Astro Arena
Mei 15, 2023 23:54 MYT
Bermula saingan aksi beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai memberikan mata pertama buat Malaysia apabila menang 21-16, 21-17 ke atas Kapila Dhruv-Ponnappa Ashwini dalam tempoh 35 minit. - Gambar Stadium Astro
Malaysia berjaya mara ke pusingan berikutannya selepas mencatatkan kemenangan kedua Kumpulan C ke atas India, sebentar tadi.
Bermula saingan aksi beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai memberikan mata pertama buat Malaysia apabila menang 21-16, 21-17 ke atas Kapila Dhruv-Ponnappa Ashwini dalam tempoh 35 minit.
Kecemerlang itu diteruskan oleh perseorangan utama negara, Lee Zii Jia, yang menghasilkan permainan berkualiti apabila menundukkan Srikanth Kidambi secara set langsung 21-16, 21-11.
Selesa mendahului 2-0, Malaysia memastikan mereka lolos ke peringkat berikutnya, menerusi Goh Jin Wei yang bangkit daripada ketinggalan untuk menang 14-21, 21-10, 22-20 ke atas P. V. Sindhu.
Pasangan beregu lelaki dan wanita negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M. Thinaah berjaya memperoleh dua lagi mata buat Malaysia sekali gus menamatkan saingan dengan kemenangan 5-0.
#Piala Sudirman #menamatkan saingan #kemenangan #perseorangan utama negara
;