Piala Raja Thai: Malaysia terus kempunan raih juara regu berpasukan

Bernama
September 8, 2024 18:31 MYT
Kegagalan itu menyaksikan Malaysia terus kemarau selama 36 tahun untuk menjulang piala berprestij berkenaan yang kekal didominasi negara Gajah Perang. - Stadium Astro
KUALA LUMPUR: Impian Malaysia menamatkan penantian 36 tahun skuad sepak takraw muncul juara acara regu berpasukan Piala Raja Thai 2024 tidak kesampaian apabila tewas 0-2 kepada tuan rumah Thailand hari ini.
Berdasarkan rekod, kali terakhir skuad sepak takraw negara memenangi Piala Raja Thai ialah pada 1988 yang ketika itu di bawah kendalian Haris Abdul Rahman.
Pada perlawanan akhir berlangsung di Nakhon Ratchasima, regu pertama negara dibarisi Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong), Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Farhan Adam (apit kiri) dipaksa bermain tiga set sebelum tewas 15-4, 3-15, 11-15.
Sandaran buat regu kedua negara Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong), Muhammad Shahalril Aiman Halim (apit kanan) dan Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) untuk bangkit menghidupkan peluang ke perlawanan ketiga juga tidak berhasil apabila tewas 13-15 dan 9-15.
Kegagalan itu menyaksikan Malaysia terus kemarau selama 36 tahun untuk menjulang piala berprestij berkenaan yang kekal didominasi negara Gajah Perang.
Isnin lepas, skuad sepak takraw negara merangkul emas acara regu lelaki Piala Raja Thai 2024 selepas menewaskan India 2-0.
-- BERNAMA
#Piala Raja Thai #Skuad sepak takraw #Malaysia tewas kepada Thailand #regu berpasukan
;