Piala Presiden: Badrul fokus tanpa tonggak
Astro Arena
Januari 21, 2019 07:35 MYT
Januari 21, 2019 07:35 MYT
TERENGGANU FC III (TFC III) berdepan tugas getir mempertahankan Piala Presiden dengan perubahan besar yang dialami skuad kendalian Badrul Afzan Razali itu.
Dengan dibarisi 70 peratus muka baru, faktor pengalaman dijangka membezakan TFC III yang turun selaku juara bertahan dengan pasukan-pasukan lain.
Ketiadaan pemain tonggak seperti Muhammad Izzan Syahmi Mustapa, Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali dan Mohd Zarulizwan Mazlan antara yang paling dirasai jentera serangan pasukan itu.
Menurut Badrul, kekosongan itu akan diisi pemain daripada skuad Piala Belia selain berkunjung ke daerah Kemaman, Dungun, Besut, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus untuk sesi pemilihan pemain.
"Terima kasih kepada pihak persatuan yang terus meletakkan kepercayaan dengan sasaran mempertahankan kejuaraan kepada saya.
"Ia bukan tugas mudah, namun saya dapat melihat peningkatan positif sejak pemain-pemain dikumpulkan," katanya.
Saingan Piala Presiden akan bermula 21 Februari ini dengan TFC III diundi dalam Kumpulan B bersama Felda United, PDRM, Perak, PKNP FC dan Kuala Lumpur.
Melengkapkan kumpulan itu ialah Melaka, Sarawak, PKNS FC, Kelantan dan Negeri Sembilan.
"Hampir kesemua tonggak kami kini bersama TFC II dan tumpuan untuk membangunkan bakat-bakat muda akan diteruskan.
"Pemain-pemain TFC III perlu menunjukkan komitmen dan berdisiplin untuk berada dalam pasukan saya sebelum potensi mereka dapat ditingkatkan," tambahnya.