Piala Negara-Negara 2022: Ireland ranap impian 'Speedy Tigers' ke final
Bernama
Disember 3, 2022 23:35 MYT
Disember 3, 2022 23:35 MYT
KUALA LUMPUR: Ireland menyekat hasrat skuad hoki lelaki kebangsaan untuk mara ke perlawanan akhir selepas menang bergaya 3-0 pada peringkat separuh akhir saingan Piala Negara-Negara 2022 di Afrika Selatan, hari ini.
Selepas terikat tanpa jaringan pada suku pertama dan kedua, Ireland akhirnya memecah kebuntuan pada suku ketiga apabila jaringan padang oleh Benjamin Walker meletakkan mereka di depan 1-0 pada minit ke-40 dalam perlawanan berlangsung di Potchefstroom.
'Speedy Tigers' terus ketinggalan selepas Jeremy Duncan meledak gol kedua pasukan dari Eropah itu menerusi jaringan padang selang dua minit kemudian.
Duncan menjadi duri dalam daging buat skuad kebangsaan kendalian A. Arul Selvaraj apabila menggandakan jaringan peribadi pada minit ke-51, juga menerusi jaringan padang, sekali gus menoktahkan kemenangan buat Ireland untuk menempah tiket ke final, esok.
Ireland akan membuat perhitungan pada final menentang sama ada Korea Selatan ataupun tuan rumah, Afrika Selatan yang akan berentap dalam satu lagi aksi separuh akhir hari ini.
Cabaran Malaysia masih belum terhenti pada kejohanan tersebut apabila dijadualkan beraksi pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, juga esok.
-- BERNAMA