Piala MFL: Jaringan Muhd Isa julang Terengganu FC II selaku juara

Bernama
November 11, 2023 05:30 MYT
Muhammad Azziq Zahazani (kiri) merebut bola daripada pemain JDT II ketika Perlawanan Akhir Piala MFL 2023, Johor Darul Ta’zim (JDT) II menentang Terengganu FC II di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, pada Sabtu. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Terengganu FC II muncul juara edisi sulung Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL) 2023, setelah menewaskan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 1-0 pada aksi final malam tadi.
Pada aksi berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang pada separuh masa pertama, namun ketumpulan jentera penyudah menyaksikan keputusan seri tanpa jaringan.
Sebaik sahaja separuh masa kedua bersambung, kedua-dua pasukan meningkatkan tempo permainan untuk memburu gol pembukaan, namun kekal buntu bagi menembusi pertahanan lawan masing-masing.
Namun, Muhd Isa Raman muncul wira menceriakan kem Terengganu FC II selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-87, sekali gus memastikan trofi Piala MFL menjadi milik pasukan itu.
Jaringan itu berpunca daripada kealpaan pemain pertahanan JDT II yang gagal menyambut bola hantaran penjaga gol mereka, sebelum pantas dihidu Muhd Isa yang menjaringkan gol. - BERNAMA
#Piala Liga Bolasepak Malaysia #MFL 2023 #Terengganu FC II #JDT II
;