Piala Malaysia: TFC, Pahang kekal momentum kemenangan
Bernama
Ogos 17, 2019 05:45 MYT
Ogos 17, 2019 05:45 MYT
Jaringan hatrik pemain import, Tchetche Hermann Kipre memastikan Terengganu FC mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Negeri Sembilan, pada aksi ketiga Kumpulan A, di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.
Kejayaan itu membolehkan skuad bimbingan Mohd Nafuzi Mahammad Zain mengekalkan rekod tanpa kalah, untuk selesa mengungguli saingan kumpulan A dengan sembilan mata dan hanya memerlukan satu kemenangan dalam baki tiga aksi untuk mengesahkan tempat di peringkat suku akhir.
Kipre, penyerang kelahiran Ivory Coast itu meledak gol pertama perlawanan pada minit ke-42, selepas kedua-dua pasukan buntu dalam usaha memburu gol pembukaan sejak permainan bermula.
Kerakusan memburu gol pemain berusia 31 tahun itu diteruskan pada babak kedua permainan, menerusi jaringan pada minit ke-56 dan 84', sekali gus melengkapkan hatrik peribadi dan menafikan semangat juang Negeri Sembilan yang berjaya menjaringkan satu gol pada minit ke-67 menerusi Igor Luiz.
Juara sebanyak empat kali, Pahang meneruskan momentum kemenangan selepas melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas Sabah dalam aksi Kumpulan C di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Gol dijaringkan seawal minit kedua oleh penyerang sensasi Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi (minit ke-35), sudah cukup untuk memberi tiga mata berharga buat skuad Tok Gajah, meskipun tuan rumah cuba bangkit menerusi gol tunggal bekas penyerang kebangsaan Angola, Aguinaldo Mendes Veiga pada minit ke-54.
Pada masa sama, Perak gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila seri 1-1 ketika berhadapan Pulau Pinang dalam satu lagi aksi Kumpulan C di Stadium Perak, Ipoh.
Skuad kendalian Mehmet Durakovic itu, seakan ketandusan idea dalam memburu gol selepas gagal menemui jaringan kemenangan, selepas keputusan terikat 1-1 hasil jaringan Ronaldo Henrique Silva pada minit ke-11 sebelum, Anselmo Casagrande menyamakan kedudukan buat Pulau Pinang pada minit ke-63.
Dalam pada itu, Melaka merampas kedudukan selaku pendahulu Kumpulan D daripada pencabar terdekat, Selangor, selepas mencatat kemenangan bergaya 3-1 ke atas Felda United, di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.
Dua gol menerusi penyerang S. Deevan pada minit ke-12 dan 62', selain satu gol disumbangkan Luka Milunovic pada minit ke-31, sudah memadai buat skuad kendalian Zainal Abidin Hassan untuk menafikan jaringan lewat penyerang Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal pada minit ke-74, bagi mengutip tiga mata berharga di gelanggang lawan.
Melaka kini mengumpul enam mata selepas mengharungi tiga perlawanan sementara Selangor yang kurang satu satu perlawanan mengutip empat mata di kedudukan kedua.
-- BERNAMA
#Kumpulan A
#Kumpulan C
#Negeri Sembilan
#Pahang
#Perak
#Piala Malaysia
#pulau pinang
#Sabah
#Tchetche Hermann Kipre
#Terengganu FC