Piala Malaysia: Terengganu, KL City mula langkah kanan

Bernama
Oktober 27, 2022 05:45 MYT
Pemain Kuala Lumpur City FC, Romel Oswaldo (kiri) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukannya selepas melakukan jaringan gol ada perlawanan TM Piala Malaysia 2022 menentang pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Naib juara Liga Super 2022 Terengganu FC mempamerkan aksi dominan apabila menewaskan Sri Pahang FC 5-1 pada perlawanan pertama kempen Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.
Pemain import dari Liberia, Kpah Sherman muncul peledak berbisa buat skuad Penyu selepas mencetak hatrik pada perlawanan tersebut.
Pada babak pertama perlawanan, Kpah membuka jaringan seawal minit pertama menerusi rembatan tepat ke gawang Sri Pahang.
Terengganu kemudian menokok gol apabila Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim menerima hantaran kemas Faisal Abdul Halim sebelum menyepak deras untuk menewaskan penjaga gol, Mamadou Samassa selang seminit kemudian.
Sri Pahang yang ketinggalan cuba bangkit dengan jaringan Andres Steven Rodriguez menerusi sepakan padu menggegar gawang pada minit ke-42.
Pada minit ke-49, giliran Faisal Halim pula meledak gol ketiga buat Terengganu selepas menyambut hantaran Kipre Tchetche.
Kpah kemudian terus menjadi duri dalam daging buat pasukan tuan rumah apabila mencipta jaringan keempat dan kelima buat Terengganu, masing-masing pada minit ke-52 dan minit ke-90 dan keputusan itu kekal sehingga wisel penamat.
Di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC turut meraih kemenangan bergaya dengan menundukkan PDRM FC 3-0.
Skuad Warga Kota itu memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri selepas terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain import dari Colombia, Romel Morales pada masa tambahan separuh masa pertama.
Babak kedua perlawanan terus dikuasai KL apabila Paulo Josue menyumbat gol kedua perlawanan pada minit ke-67 sebelum Romel Morales menjaringkan gol ketiga pada minit ke-79.
-- BERNAMA
#Piala Malaysia #bola sepak #Terengganu FC #KL City FC
;