Piala Malaysia: Stadium Nasional Bukit Jalil venue final, harga tiket serendah RM50

Bernama
November 17, 2022 17:32 MYT
Pemilihan SNBJ yang dianggap venue neutral bagi aksi final edisi ke-96 itu dibuat kerana stadium itu boleh menampung kapasiti penyokong yang ramai selain memiliki fasiliti terbaik. - Fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sekali lagi menjadi pilihan venue perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 yang dijadual berlangsung 26 Nov ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam berkata pemilihan SNBJ yang dianggap venue neutral bagi aksi final edisi ke-96 itu dibuat kerana stadium itu boleh menampung kapasiti penyokong yang ramai selain memiliki fasiliti terbaik sekali gus dapat memberi keselesaan dan keselamatan kepada mereka.
"Sudah pasti bagi MFL kami gembira untuk menganjurkan aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas final Piala FA yang berjalan lancar serta meriah dengan kehadiran lebih 84,000 penyokong. Jadi kami jangkakan sambutan sama bagi perlawanan akhir Piala Malaysia nanti.
Selain itu sudah pasti antara turut dititikberatkan adalah kualiti padang dan saya percaya dengan pengalaman PSM (Perbadanan Stadium Malaysia) dalam mengendalikan final sebelum ini, mereka akan membuat persiapan rapi dalam aspek penjagaan padang menjelang final 26 Nov ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Stuart berkata meskipun MFL berdepan dengan peningkatan kos penganjuran, harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 dikekalkan seperti perlawanan akhir Piala FA tahun ini pada 10 Sept lepas dengan tiket serendah RM50 dan RM70 bagi General Admission manakala RM150 pula untuk Premium Grandstand serta VIP Grandstand berharga RM200.
Beliau berkata proses jualan tiket final akan ditentukan oleh pasukan finalis seperti dilakukan sebelum ini kerana dengan cara sedemikian, tiket yang diperuntukkan kepada setiap kelab dapat dibeli oleh penyokong mereka secara sama rata dan adil.
"MFL membuat keputusan untuk mengekalkan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia dengan mengambil kira kejayaan penganjuran final Piala FA 2022 di mana sambutan yang ditunjukkan oleh penyokong yang hadir ke stadium cukup hebat.
Saya percaya dengan penetapan empat tahap harga tiket ini akan memberi lebih pilihan buat penyokong kedua-dua pasukan finalis yang ingin hadir ke stadium bagi menyaksikan aksi kemuncak Piala Malaysia kali ini," katanya.
Empat pasukan iaitu juara 33 kali, Selangor FC, diikuti juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim, Terengganu FC (TFC) dan Sabah FC kini sedang mengintai slot ke final Piala Malaysia musim ini.
Aksi separuh akhir pertama menyaksikan JDT menang tipis 1-0 ke atas Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Selasa lepas manakala Selangor pula menumpaskan TFC 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam.
Aksi timbal balik antara JDT dan Sabah FC akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri pada Ahad ini, manakala pertembungan antara TFC dan Selangor bakal diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, keesokan harinya.
-- BERNAMA
#Piala Malaysia #tiket final #JDT #MFL
;