Piala Malaysia: Sang Badak terus gigit jari di Kota Kinabalu
Bernama
Oktober 29, 2021 07:20 MYT
Oktober 29, 2021 07:20 MYT
KUALA LUMPUR: Sabah FC terus bergelut untuk melakar kemenangan pertama pada saingan Piala Malaysia 2021 apabila tumpas 0-2 kepada juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi ketiga Kumpulan D di Stadium Likas, Kota Kinabalu, hari ini.
JDT selaku juara Liga Super, memerlukan hanya empat minit untuk membuka tirai jaringan selepas tandukan ke belakang pertahanan tuan rumah Nazirul Naim Che Hashim mengundang padah, apabila disambar penyerang lawan, Ahmad Hazwan Bakri yang tenang menyumbat gol pertama perlawanan.
Sembilan minit kemudian, Leandro Sebastian Velazquez berjaya mengelirukan penjaga gol Sabah Rozaimie Rahim, sebelum bola lorongannya mudah ditolak masuk penyerang import, Gonzalo Gabriel Cabrera bagi menggandakan jaringan skuad bimbingan Benjamin Mora itu.
Selepas itu, pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee yang memperkemaskan corak permainan mereka mendapat peluang keemasan untuk mengurangkan defisit gol, namun rembatan kencang penyerang N. Thanabalan pada minit ke-15 menggegar palang gol lawan dan kedudukan itu kekal sehingga separuh masa pertama berakhir.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan menampilkan permainan seimbang sebelum hantaran leret dari sebelah kiri padang oleh La'Vere Lawrence Corbin-Ong, gagal disudahkan Leandro untuk melebarkan kedudukan 'Harimau Selatan' selepas percubaannya sedikit tersasar di sebelah kanan gawang Sabah pada minit ke-69.
'Sang Badak' sepatutnya berpeluang untuk merobek gawang lawan namun tandukan bekas pemain JDT, Mohd Amri Yahyah hanya melambung tinggi pada minit ke-80, manakala tandukan pemain pertahanan dari Korea Selatan Park Taesu pada minit ke-85 tepat ke dakapan penjaga gol Mohd Farizal Marlias, dan kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.
Satu lagi aksi Kumpulan D di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya menyaksikan penyerang Petaling Jaya (PJ) City FC Darren Lok muncul wira tuan rumah, apabila meledak dua gol, masing-masing pada minit ke-10 dan 81, untuk membantu tuan rumah merakam kemenangan pertama saingan kali ini menerusi kemenangan 3-1 ke atas Kelantan FC.
Seorang lagi penyerang, R. Kogileswaran turut menemui sentuhan penyudah apabila menjaringkan gol kedua PJ City pada minit ke-18, manakala jaringan tunggal pelawat dihadiahkan pemain pertahanan import Christos Intzidis, menerusi sepakan percuma pada minit ke-36.
Kemenangan ketiga berturut-turut JDT meletakkan mereka gah menerajui Kumpulan D dengan sembilan mata, manakala PJ City naik ke tangga kedua dengan empat mata untuk memintas Sabah yang jatuh di tangga ketiga selepas memungut dua mata, dan Kelantan pula di kedudukan terakhir dengan satu mata.
Sementara itu, jaringan penyerang import, Adriano Narcizo pada minit ke-54 sudah cukup untuk membantu Melaka United FC merekod kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Kumpulan C, dengan menundukkan Kelantan United FC 2-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka.
Terdahulu, gol pertama Melaka hadir pada minit ke-25 menerusi jaringan penyerang Haiti Sony Norde, sebelum Kelantan United bangkit menyamakan kedudukan oleh pemain tengah Shuhei Fukai, pada minit ke-43.
Melaka kini gah mengungguli Kumpulan C dengan sembilan mata, manakala naib juara Liga Super, Kedah Darul Aman FC di tangga kedua dengan tiga mata, diikuti Negeri Sembilan FC yang telah pun menarik diri dari Piala Malaysia selepas pemain dan pegawai pasukan dijangkiti COVID-19, juga dengan tiga mata, dan Kelantan United di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.
-- BERNAMA