Piala Malaysia: Red Giants sedia serang Pahang di Shah Alam

Astro Arena
Disember 4, 2015 22:21 MYT
DUKAKOVIC: Pemain-pemain saya mempamerkan disiplin untuk mengikut arahan yang telah dirancangkan sebelum perlawanan.
Pengendali Selangor, Mehmet Durakovic akui pasukannya akan tampil dengan corak permainan lebih menyerang berdepan Pahang, untuk aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia Ahad ini selepas berjaya mengikat lawan pada aksi pertama.
Bekas pertahanan Selangor ini sedar, aksi Ahad ini bakal menyaksikan kedua-dua pasukan memberikan aksi terbaik memburu tiket ke final tahun ini.
Di Kuantan, Durakovic mencanang pendekatan taktikal yang menyekat lawan daripada menjaringkan gol dan kini, tumpuan pasti terarah kepada corak permainan menyerang untuk aksi di laman sendiri.
"Ia bakal menjadi perlawanan yang cukup sengit. Pemain-pemain saya mempamerkan disiplin untuk mengikut arahan yang telah dirancangkan sebelum perlawanan dan sememangnya, perlawanan timbal balik wajib dimenangi," katanya.
Durakovic juga tidak mahu pemain terlalu risau dengan layangan kad kuning kedua Ahad ini kerana objektif utama adalah kemenangan pasukan.
Beberapa pemain seperti pertahanan kanan, Azrif Nasrulhaq menerima layangan kad kuning pertama ketika aksi di Kuantan.
"Semasa saya beraksi, saya tidak pernah sembunyikan debaran untuk menang dan pasukan saya juga mempunyai mentaliti yang sama.
"Mereka beraksi dengan maruah, kehormatan dan kesungguhan. Kami akan menyerang dan kami akan cuba menang," tambahnya.
Dalam pada itu, pengurus Selangor Amiruddin Shari tidak menolak kemungkinan pencapaian Selangor dalam saingan Piala Malaysia musim ini menjadi penentu kepada masa depan Durakovic selaku pengendali pasukan itu musim depan.
"Selaku pengurus kelab, saya juga mahukan pemain-pemain beri tumpuan sempenuhnya ketika beraksi di gelanggang sendiri nanti," kata Amiruddin.
#Amiruddin Shari #kad kuning #mehmet durakovic #Piala Malaysia #Red Giants #Selangor
;