Piala Malaysia: Pemain tidak pernah dibuai prestasi cemerlang JDT, kata Jordi Amat

Astro Arena
Oktober 31, 2023 22:52 MYT
"Dalam bola sepak, setiap perlawanan adalah sesi pembelajaran dan JDT sentiasa berusaha untuk muncul antara kuasa besar di rantau Asia," kata Jordi. - StadiumAstro
KAPTEN Johor Darul Ta'zim (JDT), Jordi Amat, menegaskan dia dan rakan sepasukan tidak sesekali selesa dengan prestasi semasa Harimau Selatan sebaliknya akan memperbaiki kelemahan yang ada dalam setiap perlawanan yang diharungi.
Jelas tonggak pertahanan berusia 31 tahun itu, dalam bola sepak setiap perlawanan adalah sesi pembelajaran dan JDT sentiasa berusaha untuk muncul antara kuasa besar di rantau Asia.
Mengulas mengenai persiapan pasukan menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia berdepan Perak di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis, Jordi percaya pasukannya berada di laluan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang diraih musim lalu.
Skuad kendalian Esteban Solari selangkah ke pentas akhir Piala Malaysia 2023 selepas berjaya meraih bekalan selesa ketika menang 4-1 ke atas Perak pada separuh akhir pertama 19 Oktober lalu.
"Dengan keputusan cemerlang di tempat lawan, saya berharap kami akan kembali pulih ke tahap terbaik untuk membawa pasukan melangkah ke pentas final Piala Malaysia sebelum beralih tumpuan kepada saingan Liga Juara-Juara Asia," kata Jordi.
* Artikel asal disiarkan di StadiumAstro.com
#Piala Malaysia #JDT #Perak #Jordi Amat
;