Piala Malaysia: Morales beri kelebihan tipis buat KL City

Bernama
September 17, 2023 23:00 MYT
Jaringan sepakan penalti dari Romel Morales, pada separuh masa kedua membantu KL City FC menang tipis 1-0 ke atas Sri Pahang FC. - Foto Facebook KL City FC
KUALA LUMPUR: Jaringan sepakan penalti dari penyerang Colombia Romel Morales, pada separuh masa kedua membantu juara empat kali, Kuala Lumpur City (KL City) FC menang tipis 1-0 ke atas Sri Pahang FC pada suku akhir pertama Piala Malaysia 2023 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, malam ini.
Terdahulu, aksi separuh masa pertama yang bermula dengan kedua-dua pasukan saling bertukar serangan dan menyaksikan Sri Pahang nyaris mengejutkan KL City namun tolakan penyerang dari Liberia Kpah Sherman, diselamatkan penjaga gol Kevin Ray Mendoza pada minit keenam.
Penjaga gol pelawat Mohd Izham Tarmizi Roslan, kemudian bertindak cemerlang menafikan tiga percubaan berturut-turut tuan rumah, dalam tempoh dua minit.
Mohd Izham berjaya menepis tandukan ketua pasukan Paulo Josue dan sepakan voli penyerang import Tchetche Kipre, kedua-duanya pada minit ke-15, disusuli tandukan Zhafri Yahya selang seminit kemudian.
Sri Pahang sekali lagi hampir membuka tirai jaringan apabila tonggak pertahanan dari Argentina Stefano Brundo, yang berjaya melepasi perangkap ofsaid tuan rumah gagal menanduk kemas bola hantaran sepakan percuma Kuvondik Ruziev pada minit ke-35.
Skuad warga kota bermula garang sebaik bersambung babak kedua namun Morales, melepaskan peluang keemasan menjaringkan gol selepas percubaannya tersasar di sebelah kiri gawang skuad 'Tok Gajah' pada minit ke-52.
Pasukan bimbingan Nenad Bacina yang terus menekan Sri Pahang dan akhirnya berjaya memecah kebuntuan menerusi sepakan penalti Morales pada minit ke-74, selepas pemain pertahanan Muhammad Syazwan Andik mengasari Josue.
Bagaimanapun, malang menimpa KL City yang 'tempang' dengan 10 pemain selepas pemain tengah Kenny Pallraj, dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan ke atas Sherman pada minit ke-82.
Biarpun memiliki kelebihan seorang pemain di atas padang, namun skuad kendalian legenda bola sepak dari Singapura Fandi Ahmad, gagal sekurang-kurangnya mencari gol penyamaan dan kedudukan tersebut kekal sehingga ke wisel penamat.
Sri Pahang, yang kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 2014, masih berpeluang menebus kekecewaan mereka malam ini, apabila bakal melayan kunjungan KL City dalam perlawanan timbal balik dijadual berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 24 Sept ini.
-- BERNAMA
#Piala Malaysia #KL City FC #Romel Morales #Sri Pahang FC
;