Piala Malaysia: Kurang sejam 30 ribu tiket Selangor lawan Kedah habis?

Astro Arena
Disember 11, 2015 09:52 MYT
Penyokong yang hadir di perkarangan stadium sejak jam 7 pagi lagi ternyata kecewa dan hairan bagaimana 30, 000 tiket boleh habis dijual secepat itu.
PELIK tapi benar itulah keadaan menimpa penyokong Selangor yang memohon penjelasan ekoran 30, 000 tiket aksi final Piala Malaysia menentang Kedah yang dijual di Stadium Shah Alam telah habis dijual kurang dari sejam selepas kaunter tiket dibuka.
Penyokong yang hadir di perkarangan stadium sejak jam 7 pagi lagi ternyata kecewa dan hairan bagaimana 30,000 tiket boleh habis dijual secepat itu.
Walau bagaimanapun, penjelasan yang diharapkan tidak dilayan dan penyokong mula pulang sejurus selepas itu.
Sebelum ini sebanyak 10,000 keping tiket dalam talian yang diperuntukkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk aksi final Piala Malaysia antara Selangor dan Kedah di Stadium Shah Alam, Sabtu ini telah habis dijual.
Tinjauan mendapati kesesakan teruk berlaku sejak laman sesawang www.tickethotline.com.my yang menjual tiket final Piala Malaysia dibuka bermula pukul 10 pagi, Rabu.
Skuad Selangor mara ke final setelah mencipta kejutan menerusi kemenangan agregat 2-0 ke atas juara bertahan, Pahang manakala Kedah melangkah ke final buat kali ke-11 setelah menang tipis 4-3 secara agregat ke atas Felda United pada aksi separuh akhir.
#bola sepak #Piala Malaysia #Selangor Kedah
;