Piala Malaysia: Kedah berpesta gol di Melaka
Bernama
Julai 30, 2017 08:03 MYT
Julai 30, 2017 08:03 MYT
Juara bertahan, Kedah, melakar kemenangan besar dengan menundukkan Melaka 6-2 dalam perlawanan Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Melaka malam ini.
Skuad Lang Merah membuka jaringan seawal minit kelima menerusi Ahmad Fakri Saarani sebelum Sandro Da Silva menambah jaringan pada minit ke-35 dan ke-39.
Bermula babak kedua, Muhammad Akram Mahinan menambah luka tuan rumah apabila menjaringkan gol keempat pada minit ke-48 diikuti dua lagi gol pada minit ke-77 dan ke-90 masing-masing menerusi Ken Ilso dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid.
Dua gol tuan rumah diperolehi menerusi jaringan Mohd Azinee Taib pada minit ke-21 dan Muhammad Fauzi Roslan pada minit ke-53.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan C, Kelantan gagal meneruskan rentak cemerlang apabila tewas 0-2 kepada UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam.
Dua gol UiTM FC diperolehi menerusi jaringan Akanni-Sunday Wasiu pada minit kelima dan ke-45.
Naib juara Piala Malaysia, Selangor kekal pendahulu Kumpulan D dengan 10 mata, selepas meraih kemenangan 3-2 ke atas Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.
Ismail Faruqi meletakkan tuan rumah mendahului lawan 1-0 pada minit ke-23 sebelum Selangor bangkit pada babak kedua selepas Francis Forkey Doe menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-51 sebelum Muhammad Syahmi Safari menambah jaringan empat minit kemudian.
Pada minit ke-77, skuad Penyu menyamakan kedudukan menerusi jaringan Tchetche Hermann Brice Kipre Rufino sebelum Segovia Del Burgo muncul wira skuad Gergasi Merah apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D, juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) mengutip tiga mata selepas menundukkan Sarawak 2-0 Stadium Negeri, Kuching.
Penyerang import sensasi, Mohamad Ghaddar meledak gawang tuan rumah pada minit ke-40 sebelum Safiq Rahim menambah jaringan kedua pada minit ke-75.
Bagaimanapun, skuad Harimau Selatan menduduki tangga kedua kumpulan dengan tujuh mata di belakang Selangor dengan 10 mata.
Dalam aksi Kumpulan A pula, Negeri Sembilan menewaskan Pahang 2-1 dalam perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Dua gol tuan rumah diperoleh pada minit ke-10 dan ke-35 masing-masing menerusi jaringan Farderin Kadir dan Khairul Anwar Shahrudin manakala gol tunggal pasukan Tok Gajah dijaringkan penyerang import dari Korea Selatan, Jaewon Heo pada minit ke-87.
PKNP FC kekal menghuni tangga pertama Kumpulan A, selepas meraih kemenangan selesa 4-1 ke atas T-Team dalam perlawanan di Stadium Proton, Tanjung Malim.
Empat gol PKNP FC dijaringkan Kim Hyeon Woo pada minit ke-30 diikuti jaringan Muhammad Shahrel Fikri, sembilan minit kemudian dan dua lagi jaringan menerusi Mohamad Hafiz Ramdan pada minit ke-46 sebelum Vincent Lucas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-72.
Gol saguhati T-Team diperolehi menerusi jaringan Joseph Yannick Ndjeng pada minit ke-79.
Bagi Kumpulan B, Perak mengutip tiga mata selepas mengalahkan PKNS FC 3-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam.
Tiga gol Perak diperolehi menerusi Yashir Pinto pada minit ke-28, diikuti Mohd Nazrin Mohd Nawi pada minit ke-60 dan pemain import dari Brazil Gilmar Filho pada minit ke-75 manakala gol tunggal PKNS FC menerusi Patrick Wleh pada minit ke-82.
Tiga gol Thiago Fernandez (minit ke-31, ke-50, ke-53) dan satu daripada Ifedayo Olusegun pada minit ke-59 meletakkan Felda United selesa dengan kemenangan 4-1 ke atas Kuala Lumpur, di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Gol tunggal Kuala Lumpur dijaringkan Guilherme De Paula dalam masa tambahan.
-- BERNAMA