Piala Malaysia: JDT mula bergaya, Selangor kekal rekod tanpa kalah

Bernama
Oktober 26, 2022 05:45 MYT
Pemain JDT FC Muhammad Akhyar Abdul Rashid (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan Mohamadou Sumareh pada perlawanan TM Piala Malaysia 2022. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Juara Liga Super 2022 Johor Darul Ta'zim (JDT), membuka kempen Piala Malaysia dengan bergaya selepas membenam cabaran Petaling Jaya (PJ) City FC 4-0 pada perlawanan pertama pusingan 16 terbaik, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.
Finalis musim lepas itu sukar digugat, apabila berjaya mendahului 2-0 pada separuh masa pertama masing-masing menerusi tandukan pemain pertahanan Shahrul Mohd Saad pada minit keempat, yang berpunca dari sepakan sudut dan gol hasil lambungan kaki kiri Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-39.
Penguasaan JDT diteruskan pada babak kedua yang menyaksikan skuad Harimau Selatan meledak gol ketiga menerusi gerakan satu dua antara Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Leandro Velazquez, yang disudahkan Muhammad Akhyar pada minit ke-70.
Sembilan minit kemudian, Fernando Forestieri melengkapkan malam gemilang JDT apabila menyumbat gol keempat, selepas menyempurnakan hantaran lintang Arif Aiman Mohd Hanapi sekali gus meletakkan pasukan di kedudukan selesa, menjelang aksi timbal balik di laman sendiri, minggu hadapan.
Pada masa sama, pasukan paling berjaya dengan rekod kejuaraan sebanyak 33 kali, Selangor turut melakar kemenangan selesa apabila menundukkan Kelantan United FC 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu.
Dua jaringan skuad Gergasi Merah bimbingan bekas pengendali skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe, dijaringkan penyerang dari Brazil Herlison Caion Ferreira, masing-masing menerusi tandukan pada minit ke-37 dan tampanan kaki kanan dari jarak dekat pada minit ke-63.
Keputusan itu menyaksikan Selangor kekal dengan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan, termasuk satu keputusan seri sejak Cheng Hoe mengemudi pasukan bermula hujung Sept lepas.
Di Stadium UiTM Shah Alam, Sabah FC turut membuka kempen kejohanan bola sepak berprestij itu dengan langkah kanan, apabila menewaskan UiTM FC 2-1.
Anak didik Datuk Ong Kim Swee menguasai separuh masa pertama perlawanan sebelum berjaya memecah kebuntuan gol seminit sebelum masa rehat, menerusi sepakan percuma bekas pemain kebangsaan Baddrol Bakhtiar.
Babak kedua perlawanan berlangsung 'panas' dengan aksi kekasaran kedua-dua pemain pasukan, sehingga memaksa pengadil Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi melayangkan tiga kad kuning.
Sabah menambah derita pasukan tuan rumah selepas Maxsius Musa meledak gol kedua skuad Sang Badak pada minit ke-70, namun UiTM berjaya mengurangkan defisit hasil jaringan lewat George Tetteh Attram pada minit ke-90.
Di Stadium Negeri, Kuching, jaringan tunggal Kenta Hara pada minit ke-82 memastikan Kelantan FC mencatat kemenangan berharga 1-0 ke atas Sarawak United FC.
Sementara itu, Kedah Darul Aman (KDA) FC mensia-siakan kelebihan beraksi di laman sendiri, apabila kecundang 1-2 di tangan Negeri Sembilan FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada pasukan pelawat yang menampilkan semangat juang tinggi untuk bangkit meledak dua gol selepas ketinggalan 0-1, hasil jaringan pembukaan Fayadh Zulkifli Amin seawal minit kelapan.
Kebangkitan juara Liga Premier 2021 itu, bermula dengan jaringan Che Rashid Che Halim yang menyamakan kedudukan pada minit ke-42 sebelum jaringan kemenangan hadir menerusi tandukan Matheus Alves, pada minit ke-62 yang gagal diselamatkan penjaga gol Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.
Dalam pada itu, Kuching City FC bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Penang FC 2-2 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
-- BERNAMA
#JDT #Piala Malaysia #PJ City FC #Selangor
;