Piala Malaysia: JDT ke suku akhir dengan agregat 15-1 ke atas Kelantan
Astro Arena
Ogos 19, 2023 23:29 MYT
Ogos 19, 2023 23:29 MYT
JOHOR Darul Ta'zim FC (JDT) memberikan igauan paling ngeri buat Kelantan FC apabila membelasah The Red Warriors 10-0 dalam perlawanan kedua pusingan 16, Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.
Selepas mendahului hasil kemenangan 5-1 dalam perlawanan pertama di Kota Bharu pada 4 Ogos lalu, tiada sebarang petanda JDT akan memperlahankan rentak mereka biarpun merehatkan ramai pemain utama, sekali gus mara ke suku akhir dengan agregat 15-1.
Penyerang utama, Bergson da Silva, muncul pemain paling menyerlah apabila menyumbat jaringan hatrik, masing-masing pada minit ke-21, 43 dan 73.
Pemain tengah baru dari Jepun, Takahiro Kunimoto, turut cemerlang memperoleh gol berganda (m-24 dan 37) sambil Juan Muniz (m-54), Heberty (m-61), Arif Aiman Hanapi (m-64) dan dua pemain muda, Daryl Sham (m-59) dan Aysar Hadi Shapri (m-93), turut mencatatkan nama selaku penjaring dalam sayembara itu.
Kemenangan itu mungkin yang terbesar pernah dihasilkan dalam sejarah bola sepak di Malaysia untuk JDT kini menantikan pemenang di antara Kelantan United FC dan Negeri Sembilan FC bagi dua perlawanan suku akhir bulan depan.