Piala Malaysia: JDT bertemu Kedah dalam final
Astro Arena
Oktober 21, 2017 23:00 MYT
Oktober 21, 2017 23:00 MYT
KEDAH 2 FELDA UNITED 0
(Kedah menang agregat 3-1)
JDT 3 PERAK 0
(JDT menang agregat 4-1)
Juara bertahan, Kedah, akan melakukan perhitungan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 4 November ini, selepas masing-masing meraih kemenangan dalam separuh akhir kedua di gelanggang sendiri, malam ini.
Keputusan 1-1 yang dicatatkan dalam separuh akhir pertama di Jengka, Pahang jelas bukan tiket selesa buat Kedah untuk memastikan mereka melangkah ke final buat kali ketiga.
Anak buah Nidzam Adzha Yusoff terlebih dahulu melancarkan serangan dalam perlawanan timbal balik di Stadium Darulaman malam ini walaupun permainan lebih tertumpu di bahagian tengah padang.
Felda juga tidak ketinggalan menguji kubu tuan rumah dengan tandukan Thiago Augusto berjaya didakap kemas penjaga gawang Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim, pada minit ke-39.
Kedah terus mendominasi permainan dengan menghasilkan beberapa percubaan.
Asakan mereka untuk memecah kebuntuan akhirnya membuahkan hasil selepas Sandro da Silva memastikan gol pendahuluan buat Kedah pada minit ke-71 untuk memimpin agregat 2-1.
Memastikan Kedah ke final, Sandro meledak gol kedua buat Kedah lima minit sebelum perlawanan berakhir.
Dalam satu lagi separuh akhir, kelebihan satu gol yang diperoleh JDT menerusi aksi separuh akhir pertama di Stadium Perak, Ahad lalu, meletakkan mereka pada landasan terbaik untuk mara ke final.
Ini memaksa skuad bimbingan Mehmet Durakovic menyusun gerakan untuk mencari gol awal, namun gerakan yang dilancarkan tidak membuahkan hasil.
Tuan rumah turut garang menguji gawang The Bos Gaurus, namun penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, berusaha keras untuk menahan asakan JDT sehingga tamat separuh masa pertama.
Untuk rekod, ini merupakan kali pertama JDT gagal menjaringkan sebarang gol pada babak pertama sepanjang kempen Piala Malaysia musim ini.
Bersambung selepas rehat, JDT terus mengasak dan kealpaan pertahanan Perak memakan diri sebaik Gonzalo Cabrera bijak memanfaatkan peluang daripada lorongan Gabriel Guerra pada minit ke-58 untuk menyumbat gol sulung Harimau Selatan.
Belum sempat Perak mengatur kebangkitan, Guerra pula menghukum The Bos Gaurus dengan gol kedua pada minit ke-76 sebelum Cabrera melengkapkan kemaraan JDT ke final dengan agregat 4-1.