Piala Malaysia: JDT benam PJ City FC, temu Kelantan di suku akhir
Bernama
Oktober 31, 2022 07:00 MYT
Oktober 31, 2022 07:00 MYT
KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) seperti diduga mara ke suku akhir Piala Malaysia 2022 dengan agregat 6-0 selepas mengalahkan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) 2-0 pada perlawanan kedua pusingan 16 pasukan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
Naib juara piala berprestij itu tahun lalu, Skuad Harimau Selatan itu memperoleh bekalan selesa 4-0 pada perlawanan pertama, JDT membuka jaringan seawal minit keempat menerusi rembatan padu jarak jauh penyerang import dari Brazil, Bergson da Silva.
Bergson kemudian melakukan umpanan yang baik buat pemain gantian, Fernando Forestieri untuk menggandakan jaringan pada minit ke-73 bagi skuad Harimau Selatan itu.
JDT yang segar daripada kejayaan muncul juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut dan menjulang Piala FA 2022 baru-baru ini, seterusnya akan berdepan Kelantan FC, yang menewaskan Sarawak United FC dengan agregat 2-1.
Skuad 'The Red Warriors' membuka jaringan menerusi Nurshamil Abd Ghani pada minit ke-13 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, sebelum Sarawak United menyamakan kedudukan menerusi tandukan Raja Imran Shah pada minit ke-31.
Namun, bekalan satu gol dari aksi pertama membawa Kelantan ke suku akhir.
Sementara itu, satu lagi perlawanan suku akhir bakal menyaksikan pertembungan di antara Sabah FC dan Kuching City FC.
Sabah mara menerusi kemenangan agregat 3-2 ke atas UiTM FC, manakala Kuching City pula berjaya menewaskan Penang FC dengan ageregat 4-3.
Di Stadium Likas, Sabah yang menang aksi pertama dengan keputusan 2-1, berjaya membuka akaun jaringan menerusi sepakan penalti Farhan Roslan pada minit ke-62.
UiTM cuba bangkit menerusi jaringan Farez Aiman Marzuki pada masa kecederaan (90+2), namun ia sudah terlewat buat pasukan universiti itu untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan dengan keputusan agregat berpihak kepada skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee.
Pertembungan di antara Kuching City dan Penang pula terpaksa ditentukan pada masa tambahan di Stadium Negeri, Kuching, di mana jaringan Wan Faiz Wan Sulaiman pada minit ke-118 membawa skuad tuan rumah ke pusingan lapan terakhir.
Selepas aksi di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Rabu lepas terikat 2-2, Lucas Silva berjaya meledak jaringan pertama perlawanan pada minit ke-22 untuk memberi kelebihan kepada skuad Harimau Kumbang.
Bagaimanapun, pasukan tuan rumah bangkit menerusi jaringan sepakan percuma Alif Hassan pada minit ke-62 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan dengan keputusan agregat terikat 3-3, sebelum Wan Faiz muncul wira dengan jaringan minit-minit terakhir itu.
Aksi pertama suku akhir dijangka berlangsung pada Sabtu dan Ahad ibi manakala aksi timbal balik pada 11 dan 12 Nov ini.
-- BERNAMA