Piala Malaysia: Gol Diogo pisahkan TFC, JDT
Astro Arena
September 21, 2019 07:24 MYT
September 21, 2019 07:24 MYT
TERENGGANU FC 0 JDT 1
"Pengadil itu anjing," jerit kumpulan penyokong Terengganu FC (TFC) selepas sejam aksi dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang memihak JDT 1-0 dalam suku akhir pertama Piala Malaysia di Kuala Terengganu, malam tadi.
Kasar tetapi ia menceritakan kekecewaan tuan rumah apabila kekasaran Mauricio Nascimento terhadap Kipre Tchetche tidak mendapat ihsan pengadil, Wan Mohd Tarmizi Wan Ibrahim, pada minit ke-62.
Luahan itu, begitupun, sekadar menutup keseluruhan kelemahan TFC yang beraksi di bawah prestasi sebenar sejak wisel permulaan lagi.
Enam kad kuning -- empat untuk JDT dan dua kepada TFC -- menjadi rencah kepada pertemuan yang hanya dipisahkan jaringan penyerang Harimau Selatan, Diogo Luis.
Aksi kurang meyakinkan mula diserlahkan tuan rumah yang ditekan JDT pada awal permainan, sekali gus membenarkan pelawat menguasai babak pertama.
Bermula amaran awal anak Dungun, Safawi Rasid, pada minit kelapan, JDT tidak menoleh ke belakang untuk mengasak pintu gol tuan rumah yang dikawal Wan Muhd Azraei Wan Teh.
Kubu TFC terus cemas pada minit ke-16 yang menyaksikan percubaan Diogo hasil umpanan Safawi dari kawasan berbahaya melambung tinggi.
Penantian JDT terlerai apabila Diogo berjaya melepasi kawalan Serhii Andrieiev sebelum rembatan kencangnya menewaskan Azraei pada minit ke-22.
Peluang terbaik TFC pula hanya dicipta Tchetche (m-34), namun voli penyerang dari Ivory Coast itu, yang berpunca daripada hantaran Ashari Samsudin, sekadar leret ke sebelah kiri Farizal Marlias.
Tanpa menilai keputusan pengadil, aksi yang panas itu semakin kecoh ekoran kekasaran Khairul Izuan Rosli ke atas bek kiri JDT, Corbin Ong, di depan bangku simpanan pelawat.
Selain kad kuning kepada Izuan, insiden itu turut mencetuskan konfrontasi melibatkan pegawai kedua-dua pasukan menuju ke penamat separuh masa.
Cerita babak kedua seakan-akan serupa apabila sepakan percuma Safawi pada minit ke-48 menggambarkan gol JDT seterusnya bakal muncul jua.
Safawi hampir menjaringkan gol di 'rumah' lamanya selepas menewaskan Wan Muhd Azraei, namun tolakannya dikeluarkan Nasrullah Haniff Johan pada minit ke-53.
Sorakan lebih 11,000 penyokong TFC pada minit ke-64 pula terlalu awal apabila Farizal cemerlang menepis rembatan lencong Sanjar Shaakhmedov sebelum JDT kembali dominan.
Tindakan Wan Muhd Azraei (m-72) keluar dari kotak penaltinya gagal menghalang larian Safawi hanya untuk sepakan pemain sayap negara itu mengenai tiang gol tuan rumah.
Tambahan masa empat minit diberikan sebelum Wan Mohd Tarmizi meniupkan wisel penamat tatkala TFC mendapat sepakan percuma, namun JDT lebih awal mengesahkan kemenangan untuk aksi timbal balik di Larkin minggu depan.
#anjing
#Diogo Luis
#JDT
#kad kuning
#kekasaran
#kekecewaan tuan rumah
#kelemahan
#Kipre Tchetche
#konfrontasi
#Kuala Terengganu
#Mauricio Nascimento
#pengadil
#Piala Malaysia
#Safawi Rasid
#Terengganu FC
#TFC
#Wan Mohd Tarmizi Wan Ibrahim