Piala FA: Watford bangkit untuk menewaskan Wolverhampton
Ian Johan Ariff
April 8, 2019 09:51 MYT
April 8, 2019 09:51 MYT
Bekas bintang remaja Barcelona, Gerard Deulofeu mempamerkan aksi cemerlang untuk mencetus kebangkitan Watford menewaskan Wolverhampton 3-2 dalam separuh akhir Piala FA pada Ahad.
Sebelum itu, Wolves dilihat seakan menempah slot ke final dalam aksi di Wembley itu, apabila menjaringkan dua gol menerusi Matt Doherty dan Raul Jimenez.
Doherty menanduk masuk gol pertama Wolves pada minit ke-36 sebelum penyerang sensasi Mexico, Jimenez menjaringkan gol kedua menerusi satu voli kencang di hadapan gol pada minit ke-62.
Deulofeu kemudian merapatkan jurang pada minit ke-79 dan Wolves menyamakan kedudukan menerusi penalti Troy Deeney pada minit terakhir permainan.
Penalti diperoleh selepas Deeney dikasari Leander Dendoncker dalam kawasan penalti.
Gol kemenangan akhirnya dijaringkan Deulofeu pada minit ke-104 dalam masa tambahan untuk membawa Watford ke final Piala FA yang pertama sejak 1984.
Watford akan bertemu Manchester City di final pada 18 Mei.
#Gerard Deulofeu
#Leander Dendoncker
#Matt Doherty
#Piala FA
#Raul Jimenez
#Troy Deeney
#Watford
#Wembley
#Wolverhampton