Piala FA: Villa dedah jangkitan COVID-19 menjelang aksi dengan Liverpool

Astro Arena
Januari 8, 2021 02:14 MYT
Kelab Bola Sepak Aston Villa (AVFC) menutup Pusat Latihan Bodymoor Health berikutan kes jangkitan koronavirus yang membimbangkan. - Astro ARENA
ASTON Villa menutup pusat latihan mereka pada malam sebelum pertemuan dengan Liverpool dalam pusingan ketiga Piala FA gara-gara "peningkatan membimbangkan" jangkitan koronavirus.
Villa semalam mendedahkan sejumlah besar pemain dan staf pasukan utama mereka sedang diasingkan selepas diuji positif COVID-19 minggu ini.
Pasukan utama mereka tidak menjalani latihan sehari sebelum pertemuan dengan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di Villa Park dan terdapat cakap-cakap mengenai pembatalan perlawanan berkenaan.
"Aston Villa mengesahkan bahawa kelab ini menutup Pusat Latihan Bodymoor Health berikutan kes jangkitan koronavirus yang membimbangkan," kata satu kenyataan kelab itu.
"Sejumlah besar pemain dan staf pasukan utama didapati positif selepas menjalani pemeriksaan rutin Isnin lalu dan segera diasingkan.
"Ujian saringan kedua segera diadakan selepas itu dan megeluarkan lebih banyak keputusan positif.
"Latihan pasukan utama menjelang perlawanan Piala FA dengan Liverpool esok telah dibatalkan.
"Sesi perbincangan sedang berjalan bersama wakil perubatan kelab ini, Persatuan Bolasepak England (FA) dan Premier League."
#Aston Villa #England #Liverpool #Piala FA #EPL #Liga Perdana Inggeris #perubatan #koronavirus #COVID-19 #ujian saringan #peningkatan membimbangkan #jangkitan #Pusat Latihan Bodymoor Health #tutup pusat latihan #pemeriksaan rutin