Piala FA: Ten Hag mahu Manchester United jadikan kegagalan sebagai motivasi

Astro Arena
Jun 4, 2023 14:43 MYT
"Yang pertama, anda perlu sentiasa menunjukkan rasa hormat," kata Erik ten Hag. - StadiumAstro.com
ERIK ten Hag berkata Manchester United perlu menggunakan kelukaan yang mereka alami selepas tewas dalam final Piala FA kepada Manchester City sebagai motivasi untuk memperbaiki prestasi dan menghapuskan jurang dengan pasukan jiran itu.
Tumpuan terarah ke Stadium Wembley malam tadi, di mana dua seteru setempat itu bertembung dalam final kejohanan utama buat kali pertama dalam sejarah.
Ilkay Gundogan membuka jaringan dengan voli gemilangnya seawal 12 saat usia permainan sebelum Bruno Fernandes memadamkan kelebihan itu menerusi sepakan penalti sebelum ke bilik persalinan.
Bagaimanapun, City sekali lagi berada di depan menerusi satu lagi gol voli Gundogan untuk mencatatkan kemenangan 2-1 dan kini berpeluang untuk mengulangi pencapaian 'treble' yang dilakukan United pada 1999 menjelang final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menenentang Inter Milan hujung minggu depan.
Ramai penyokong United beransur pulang ketika pasukan jiran mereka itu sedang bersedia untuk menjulang trofi tetapi Ten Hag dan pasukannya menunggu untuk menyaksikan keraian berkenaan.
"Yang pertama, anda perlu sentiasa menunjukkan rasa hormat.
"Tetapi sudah pasti ia akan menjadi satu motivasi.
"Anda perlu rasakannya di perut anda. Kesakitan ini dan ia perlu dipenuhi.
"Kami mahu berada di sana dan pasukan kami, pemain saya, layak untuk mendapatkannya tetapi anda perlu mengambil peluangnya dan itulah langkah seterusnya yang perlu kami lakukan," katanya.
#Erik ten Hag #Manchester United #Piala FA #Manchester City
;