Piala FA: Sudah tentu JDT pilihan juara, tetapi..

Syukri Shaari
Julai 21, 2023 17:35 MYT
SYUKRI: Adakah sejarah akan berulang? Adakah ini bakal menjadi kemenangan manis buat peminat #SampaiMatiKualaLumpur?
MASIH segar dalam ingatan peminat bola sepak tanah air apabila Zhafri Yahya membuka jaringan untuk KL City ketika aksi final Piala Malaysia menentang JDT dua tahun lalu.
Disusuli pula jaringan ketua pasukan, Paulo Josue yang mengesahkan kemenangan bergaya 2-0 The City Boys ke atas skuad Harimau Selatan.
Malam itu, meskipun telah berlalu dua tahun masih menjadi bualan peminat bola sepak.
Mungkin juga akan kekal sebagai salah satu sejarah manis penyokong tegar KL City sampai bila-bila.
Tiada siapa yang meletak walau secebis harapan kepada KL City untuk menang ke atas JDT, pasukan yang telah mendominasi liga Malaysia bertahun-tahun kebelakangan ini.
Namun, itu yang berlaku pada malam itu. Anak-anak buah Bojan Hodak memberi pengajaran kepada skuad elit JDT ketika itu, bahawa tiada apa yang mustahil dalam bola sepak.
Selepas dua tahun, kedua-dua pasukan ini kembali berentap, kini Piala FA pula yang menjadi rebutan.
Ini merupakan final Piala FA pertama KL City selepas kali terakhir memenanginya pada 1999.
Bagi JDT pula, mereka merupakan juara bertahan selepas memenanginya musim lalu, menewaskan Terengganu 3-1.
JDT, sudah tentu menjadi pilihan untuk menang.
Di atas kertas, data, rekod dan prestasi pasukan, semuanya cenderung kepada JDT.
Pemerhati bola sepak malah ada yang menyifatkan skuad JDT kendalian Esteban Solari ini sebagai yang terbaik pernah dibentuk dari Johor.
Pandangan itu mungkin tidak silap, selepas 17 perlawanan liga, JDT menang semua, 67 gol dijaringkan dengan hanya tiga gol dilepaskan.
Secara puratanya hampir empat gol dijaringkan JDT dalam setiap perlawanan. Ini impak rangkaian serangan menggerunkan Arif Aiman, Bergson da Silva, Fernando Forestieri dan Leandro Velazquez.
JDT berada pada prestasi terbaik, dan di landasan yang tepat untuk memenangi kejuaran liga ke-10 berturut-turut. Sejarah besar untuk Liga Malaysia.
KL City pula terumbang-ambing. Kali terakhir menang adalah ketika pertemuan menentang Sri Pahang FC bulan lalu.
Perlawanan selepas itu, skuad warga kota hanya mampu merekodkan tiga keputusan seri dan satu kekalahan.
Tetapi itulah KL City, tidak menentu di liga tetapi cemerlang dalam saingan pertandingan piala. Ini kepakaran Bojan Hodak.
Namun, untuk rekod, dua kali bertemu musim ini, dua kali juga KL City tewas kepada JDT. Tewas dengan margin jaringan besar.
Jadi, apakah tiada langsung peluang dan harapan untuk KL City menjelang aksi menentang JDT pada aksi final kali ini?
Jika berdasar kepada data dan prestasi, jawapannya memang tiada. Hampir 99 peratus kemenangan pasti milik JDT.
Tetapi, seperti dua tahun lalu, tiada yang mustahil dalam bola sepak, walaupun peluang kemenangan hanya pada kadar satu peratus sahaja.
Adakah sejarah akan berulang? Adakah ini bakal menjadi kemenangan manis buat peminat #SampaiMatiKualaLumpur?
Atau JDT dan peminat Harimau Selatan akan terus #LuaskanKuasamuJohor?

* Syukri Shaari merupakan penerbit Astro AWANI yang memberikan ulasan tentang Liga Bola Sepak Malaysia menerusi slot 'Volley Bersama SuperSyuk'.
#Piala FA #JDT #KL City #pilihan perlawanan #bola sepak
;