Piala FA: Sri Pahang raih kemenangan dramatik ke atas Perak

Astro Arena
Mac 8, 2023 23:14 MYT
Pemain gantian, Abdul Malik, menjadi pencetus kebangkitan Sri Pahang dengan menolak masuk sepakan penjuru Azam Azih pada minit ke-82. - Foto stadiumastro
IPOH: Sri Pahang FC bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Perak FC 2-1 dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA di Ipoh sebentar tadi.
Gol sepakan penalti Stefano Brundo memastikan kemaraan Tok Gajah selepas Abdul Malik Mat Ariff memadamkan jaringan pembukaan Chinzo Obiozor buat Perak, yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain menuju ke penghujung permainan.
Ketika Sri Pahang diletakkan sebagai pasukan pilihan dalam pertemuan kali ini, Perak terlebih dahulu mencipta kejutan apabila Obiozor bertindak bijak menghidu lorongan Shafizi Iqmal Khirudin sebelum melepaskan ledakan kencang untuk menewaskan Izham Tarmizi Roslan pada minit ke-34.
Bagaimanapun, nasib The Bos Gaurus berputar 360 darjah dalam babak kedua apabila Fadhil Idris dilayangkan kad kuning kedua kerana menarik Kpah Sherman ketika penyerang itu berpeluang untuk melakukan percubaan.
Kelebihan sorang pemain jelas dimanfaatkan Sri Pahang dan pemain gantian, Abdul Malik, menjadi pencetus kebangkitan mereka dengan menolak masuk sepakan penjuru Azam Azih pada minit ke-82.
Drama kian memuncak dalam waktu kecederaan, di mana Tok Gajah dihadiahkan sepakan penalti apabila Nasrol Amri didapati menjatuhkan Baqiuddin Shamsudin sebelum Brundo memanfaatkan situasi itu untuk menjaringkan gol kemenangan Sri Pahang.
Pasukan Pantai Timur itu seterusnya akan bertemu Selangor bagi perlawanan pusingan 16 di Petaling Jaya pada 15 April depan.
#Piala FA #penalti #gol kemenangan #Sri Pahang
;