Piala FA: Sepakan penalti 2010 jadi igauan Baddrol
Bernama
Julai 26, 2019 20:44 MYT
Julai 26, 2019 20:44 MYT
Igauan ngeri terlepas peluang menjulang Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sembilan tahun lalu selepas tumpas 4-5 dalam sepakan penalti kepada Negeri Sembilan mempengaruhi fokus kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar.
Beliau yang akan turun memimpin skuad Helang Merah berdepan Perak pada final Piala FA 2019 malam esok mengakui stadium kebanggaan rakyat Malaysia itu bukanlah satu gelanggang bertuah buat dirinya.
"Igauan 2010 itu masih saya ingat di mana kami pada ketika itu hampir mendakap Piala FA tetapi dikecewakan dengan kekalahan menerusi sepakan penalti. Kekecewaan itu masih segar dan kuat dalam ingatan saya," katanya pada sidang media praperlawanan di SNBJ di sini, hari ini.
Justeru, Baddrol berharap setiap pemain yang diturunkan pada perlawanan esok dapat menampilkan aksi terbaik bagi mengelakkan insiden tersebut tidak berulang.
Stadium keramat yang mampu memuatkan sehingga 90,000 penyokong itu pernah menjadi saksi kekalahan Kedah berkenaan selepas terikat 1-1 dalam tempoh 120 minit.
"Jadi saya mengharapkan barisan pemain Kedah dapat memberikan yang terbaik pada malam esok dan fokus habis-habisan dalam misi menjadi juara Piala FA 2019," katanya
Pada masa sama, Baddrol berkata kekalahan 1-5 pasukannya pada aksi terakhir Liga Super berdepan Felda United, Ahad lalu, tidak akan menjejaskan moral pasukan.
"Ia (kekalahan 1-5) tidak langsung kacau mental dan fokus kami. Bagi pasukan, kami sudah melupakan apa yang telah berlaku dan fokus hanya kini hanya pada aksi esok," katanya yang memburu gelaran keempat peribadi Piala FA.
Baddrol, yang juga antara tonggak pemain negara meraih pingat emas pada Sukan SEA 2011, pernah meraih trofi Piala FA bersama Kedah pada 2007, 2008 dan 2017.
-- BERNAMA
#aksi final
#Baddrol Bakhtiar
#bola sepak
#Bukit Jalil
#gelanggang bertuah
#Kedah
#Negeri Sembilan
#Perak
#Piala FA
#Stadium Nasional
#sukan