Piala FA: Selangor jinakkan Negeri Sembilan untuk ke separuh akhir

Bernama
Mei 27, 2023 23:28 MYT
Pemain-pemain Selangor FC meraikan kemenangan menewaskan Negeri Sembilan 3-1 pada perlawanan Suku Akhir di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini. - Foro BERNAMA
SEREMBAN: Selangor FC mara ke peringkat separuh akhir Piala FA selepas membenam pasukan tuan rumah Negeri Sembilan FC 3-1 pada perlawanan suku akhir di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam ini.
Permulaan yang cukup bertenaga dipamerkan kedua-dua pasukan apabila berhasil mencipta gol dalam tempoh tiga minit pertama permainan dengan Negeri Sembilan terlebih dahulu di hadapan menerusi tandukan tepat pemain import Muhammad Safuwan Baharuddin selepas 43 saat aksi bermula.
Skuad Gergasi Merah tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan dengan rembatan kencang ketua pasukan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit ketiga yang memanfaatkan gerakan dan hantaran tepat Mohamad Faisal Abdul Halim.
Meskipun Negeri Sembilan terhimpit dengan kekurangan pemain import namun pujian harus diberikan kepada skuad The Jang bimbingan K. Devan yang berhasil mencipta beberapa percubaan berbahaya antaranya sepakan lambung pemain import Anselmo Arudda da Silva atau Casangrande pada minit ke-39.
Muhammad Mukhairi hampir menjaringkan gol peribadi keduanya pada minit ke-43, namun percubaannya tersasar dari gol sebelum separuh masa pertama tamat dengan keputusan terikat 1-1.
Bersambung babak kedua, Selangor yang merupakan juara Piala FA lima kali menambah tekanan tuan rumah dengan gol kedua hasil rembatan kencang kaki kanan pemain dari Brazil, Yohandry Jose Orozco pada minit ke-60 selepas menerima hantaran kemas Mohamad Faisal.
Mohamad Faisal juga hampir memberikan kedudukan selesa buat Selangor pada minit ke-70 dalam situasi satu lawan satu berdepan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, namun penjaga gol skuad Harimau Muda itu bertindak cemerlang untuk menampan keluar bola.
Selangor kendalian Tan Cheng Hoe mengesahkan kemaraan ke separuh akhir dengan bergaya selepas Orozco memastikan malam gemilang pasukan dengan meledak jaringan ketiga pada minit ke-87 selepas beliau memanfaatkan hantaran Mohamad Faisal.
Menanti anak buah Cheng Hoe di pentas separuh akhir adalah antara juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Penang FC yang akan membuat perhitungan pada aksi suku akhir di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor, malam esok.
-- BERNAMA
#Piala FA #Selangor FC #Negeri Sembilan #Separuh Akhir
;