Piala FA: Pemain muda sekali lagi serlah kemampuan bawa Liverpool ke suku akhir
Astro Arena
Februari 28, 2024 07:35 MYT
Februari 28, 2024 07:35 MYT
SKUAD muda Liverpool sekali lagi membuatkan Jurgen Klopp berbangga ketika Lewis Koumas menjaringkan gol ketika membuat penampilan pertama sementara pemain berusia 18 tahun, Jayden Danns turut meledak dua gol ketika The Reds mengatasi Southampton 3-0 di Anfield.
Kemenangan itu, hanya tiga hari selepas menjuarai Piala Carabao ke atas Chelsea, menyaksikan mereka bakal ke suku akhir Piala FA berdepan Manchester United.
Liverpool melewati tempoh getir apabila rata-rata pemain yang yang beraksi di final tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama ekoran masih belum sempat pulih ke tahap kecergasan terbaik apabila beraksi selama 120 minit dalam aksi sebelum ini.
Koumas, anak kepada pemain tengah Tranmere dan West Brom, Jason, antara enam pemain di bawah 21 tahun yang beraksi dalam perlawanan tersebut.
Dan salah seorang daripada pemain akademi, Bobby Clark, yang membuat penampilan ke-10 bersama pasukan, bertindak sebagai arkitek perlawanan sebelum tamat separuh masa pertama untuk membenarkan Koumas membuka jaringan.
Danns, anak kepada bekas pemain tengah Crystal Palace, Neil yang membuat debut di Wembley, hadir sebagai pemain gantian menjaringkan gol kedua pada minit ke-73 sekali gus membenarkan Anfield menarik nafas lega.
Ia sekali gus memberikan ruang buat Klopp untuk menurunkan Trey Nyoni, pemain ketiga termuda Liverpool pada berusia 16 tahun dan 243 hari untuk beraksi dalam Piala FA.
The Kop mula meluangkan sorakan 'kami belum menang trofi -- sejak Ahad lalu' -- sejurus sebelum Danns menjaringkan gol kedua pada minit ke-88.