Piala FA: Nafuzi anggap KDA FC tidak patut tewas kepada JDT

Bernama
Julai 20, 2024 10:00 MYT
MOHD NAFUZI: Memang saya kecewa, saya rasa kita tak patut kalah, sekurang-kurangnya kita dapat keputusan seri. - Gambar fail/Astro ARENA
ALOR SETAR: Pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC Mohd Nafuzi Zain menganggap pasukannya tidak sepatutnya tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Beliau berkata dengan prestasi dan corak permainan bertenaga yang dipamerkan semua pemain serta peluang yang dicipta, Kedah sekurang-kurangnya boleh mendapat keputusan seri dan bukannya tewas seperti yang berlaku.
"Memang saya kecewa, saya rasa kita tak patut kalah, sekurang-kurangnya kita dapat keputusan seri, kita tahu JDT pun banyak peluang, kita pun banyak peluang juga, tapi saya harap perlawanan akan datang kita dapat kekal prestasi seperti ini.
"Kita juga bermula baik dan beberapa gerakan kita ada peluang untuk kita buat jaringan, mungkin keghairahan pemain membuatkan mereka agak gopoh sedikit, itulah yang membezakan kita dan JDT," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan yang menyaksikan KDA FC tewas 1-2 kepada JDT, di sini malam tadi.
Nafuzi akui bertemu JDT satu perlawanan yang sukar, tetapi satu jaringan yang dicipta membuktikan pasukannya berfungsi dengan baik di semua posisi dan menganggap nasib tidak menyebelahi pasukannya.
"Bila bertemu JDT untuk menjaringkan gol tu bukan senang, untuk mencari kemenangan bukan mudah, bagi saya lebih baik kita seri dari kita tewas, tapi kita kena jaringan 2-1, itu kita terima," katanya.
Dalam perlawanan malam tadi, Kedah tewas kepada JDT hasil jaringan pemain Oscar Arribas dan jaringan lewat Romel Morales, manakala gol tunggal Kedah diperoleh menerusi Habib Haroon.
KDA FC dan JDT akan beraksi pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim pada 3 Ogos, bagi menentukan pasukan yang bakal mara ke perlawanan akhir Piala FA.
-- BERNAMA
#Piala FA #KDA FC #Mohd Nafuzi Zain #JDT
;