Piala FA: Manjung FC, Imigresen FC mara ke pusingan kedua

Bernama
Mac 25, 2023 05:15 MYT
Pemain Pasukan Manjung City FC Parvin Kumar Vasu (dua, kanan) berebut bola dengan pemain pasukan Sains FC Muhammad Huzaimi Mokhtar (kanan) dalam saingan Piala FA Malaysia 2023. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Manjung City FC memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila menewaskan Sains FC 2-0 malam tadi sekali gus melayakkan diri ke pusingan kedua Piala FA.
Beraksi di hadapan kira-kira 300 penyokong pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), tuan rumah berjaya mendahului seawal minit ketiga melalui jaringan Mohamad Syamin Baharudin yang bijak menampan hantaran lintang dilakukan Shahrul Naim Shamsul Hisham daripada sebelah kanan gawang pasukan pelawat.
Bersambung aksi di babak kedua, Manjung City terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-62 selepas Furqan Azmi mengutip kad kuning kedua ekoran kekasaran yang dilakukan terhadap Muhammad Nazrul Kamaruzaman.
Serangan bertali arus dilakukan oleh Manjung City akhirnya berjaya menghasilkan jaringan kedua pada minit ke-83, kali ini giliran penyerang Mohamad Afeeq Iqmal Rosli mencetak nama selaku penjaring apabila sepakan lencong yang dilakukan ke sebelah kanan gawang gol Sains FC gagal ditampan keluar oleh Mohd Kaharuddin.
Sementara itu, Imigresen FC menewaskan BRM Kuala Kangsar FC (BRM FC) 1-0 pada perlawanan pusingan pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, di sini malam tadi.
Turun dengan formasi 4-4-2, Imigresen nyata berada dalam keadaan selesa apabila berjaya memecahkan kebuntuan seawal minit ke-10 menerusi sepakan penalti Azim Rahim ke kiri gawang tetapi kedua-dua pasukan gagal mendapatkan sebarang gol sehingga tiupan wisel penamat.
Pada 14 April ini, Manjung City akan turun melakukan perhitungan bersama Kelantan FC, manakala Imigresen akan bertemu Kuala Lumpur City dalam pusingan kedua saingan Piala FA.
-- BERNAMA
#Piala FA #Manjung City FC #Imigresen FC #bola sepak
;