Piala FA: KL City ke separuh akhir selepas bangkit atasi Sabah

Bernama
Mei 28, 2023 22:36 MYT
Juara tiga kali, Kuala Lumpur City FC menumpaskan tuan rumah Sabah FC 2-1 pada pertembungan suku akhir di Stadium Likas hari ini. - Stadium Astro
KOTA KINABALU: Juara tiga kali, Kuala Lumpur City FC bangkit daripada ketinggalan untuk melangkah ke peringkat separuh akhir Piala FA selepas menumpaskan tuan rumah Sabah FC 2-1 pada pertembungan suku akhir di Stadium Likas di sini hari ini.
Skuad Sang Badak bimbingan Datuk Ong Kim Swee dengan rekod baik di laman sendiri bermula garang apabila mendahului seawal minit keenam menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Gabriel Peres selepas kapten KL City Paulo Josue menjatuhkan Jailton Paraiba.
KL City kembali memperkemaskan permainan sebelum berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-29 hasil penyudah Romel Morales sekali gus mengubah perlawanan menjadi lebih rancak.
Menghampiri rehat, T. Saravanan muncul wira skuad The City Boys selepas meledak gol kedua pasukan pada minit ke-44.
Sabah yang tertekan cuba bangkit mencari gol penyamaan pada separuh masa kedua, namun kekentalan barisan pertahanan KL City menidakkan beberapa peluang anak buah Kim Swee sekali gus terpaksa akur ditunjukkan jalan keluar daripada saingan.
Pada perlawanan separuh akhir, KL City yang dibimbing Bojan Hodak akan membuat perhitungan menentang finalis dan juara dua kali Terengganu FC dalam merebut tempat ke pentas final.
-- BERNAMA
#KL City FC #Piala FA #Sabah FC #bola sepak
;