Piala FA: Khairulazhan selamatkan maruah Selangor

Astro Arena
April 21, 2018 00:31 MYT
Selangor mara ke separuh akhir Piala FA apabila penjaga gol, Khairulazhan Khalid, bertindak selaku wira dalam penentuan sepakan penalti di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Sabtu malam. - Asiana melalui Astro Arena
SELANGOR mara ke separuh akhir Piala FA apabila penjaga gol, Khairulazhan Khalid, bertindak selaku wira dalam penentuan sepakan penalti di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.
Meraih kemenangan 3-0 dalam aksi pertama, Selangor kelihatan sudah selangkah ke separuh akhir tetapi Kuala Lumpur enggan mengibarkan bendera putih dalam usaha mengubah keputusan perlawanan.
Kuala Lumpur membuka jaringan seawal minit ke-15, Zaquan Adha bijak mencari ruang menewaskan Khairulazhan.
Sebelum tamat separuh masa pertama, Paulo Josue meledak gol kedua sekaligus menghidupkan peluang Kuala Lumpur untuk bangkit.
Kebangkitan Kuala Lumpur menyamakan kedudukan secara agregat berjaya apabila Syazwan Andik menjaringkan gol ketiga pada minit ke-54.
Kedua-dua pasukan mengasak bagi mencari gol kemenangan hingga penentuan sepakan penalti.
Selepas dibolosi tiga kali dalam waktu biasa, Khairulazhan bertindak sebagai wira Selangor untuk meneruskan kemaraan ke separuh akhir apabila menafikan dua percubaan Kuala Lumpur untuk memberikan kemenangan 8-7.
Dalam aksi di Stadium Perak, Ipoh, Perak tersingkir daripada saingan Piala FA apabila seri 2-2 dengan PKNS FC.
Selepas meraih kemenangan 2-1 dalam aksi pertama, skuad kendalian K. Rajagobal terus mempamerkan aksi cemerlang apabila Rodney Celvin dan Gurusamy meledak dua gol dalam tempoh sembilan pada babak kedua perlawanan sekaligus mendahului perlawanan 4-1 secara agregat.
Nasir Basharudin menyamakan kedudukan apabila menjaringkan dua gol bagi mengurangkan defisit jaringan tetapi ia tidak cukup untuk membantu menempah tiket ke separuh akhir dan memberikan kemenangan 4-3 secara agregat kepada PKNS.
#bola sepak #Khairulazhan Khalid #Paulo Josue #Piala FA #Syazwan Andik #Zaquan Adha
;