Piala FA: Ketiga-tiga tuan rumah bawa bekalan ke tempat lawan

Bernama
April 8, 2015 08:25 MYT
Penyerang Sime Darby Nemanja Vidakovic (tiga kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol penyamaan pada minit akhir separuh masa pertama ketika bertemu Kelantan - Foto Bernama
Pertembungan suku akhir pertama Piala FA malam tadi menyaksikan ketiga-tiga tuan rumah mempunyai bekalan gol untuk bertandang ke gelanggang lawan pada pertemuan kedua nanti.
Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, tuan rumah Sime Darby seri 1-1 dengan pasukan pelawat dari Pantai Timur, Kelantan.
Perlawanan ini menyaksikan pertemuan ulangan final Piala FA 2012.
Anak buah Ismail Zakaria mempamerkan aksi cemerlang menerusi beberapa percubaan pemain import Nemanja Vidakovic dari Serbia yang hampir membolosi gawang pelawat namun Khairul Fahmi Che Mat tangkas menepis serangan lawan.
Pada minit ke-36, Kelantan mendapat peluang keemasan menerusi sepakan percuma namun disia-siakan ketua pasukan Badhri Radzi atau Piya apabila sepakannya melencong melewati palang gol.
Kesilapan pertahanan tuan rumah akhirnya dihukum pada minit ke-45 selepas tandukan ke belakang Halim Zainal yang gagal dibaca Juzaili Samion berjaya dihidu pemain import Kelantan Erwin Carillo dari Colombia yang menyempurnakan rembatan ke arah gawang Sime Darby.
Tersentak dari gol pendahulu skuad bimbingan jurulatih Azrai Khor Abdullah itu, Sime Darby bangkit menyamakan kedudukan menerusi Vidakovic yang menyempurnakan hantaran lintang dari Fahrul Razi Kamaruddin sebelum wisel penamat dibunyikan.
Sebaik pengadil Mohd Nafeez Abdul Wahab meniup wisel memulakan babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan tidak melengahkan masa cuba mengatur serangan mencari gol tambahan sebagai bekalan pusingan kedua.
Pada minit ke-70, tuan rumah hampir mendahului pasukan The Red Warrior menerusi sepakan pemain import Marko Perovic namun sekali lagi palang menjadi penyelamat kepada gol Kelantan.
Pada minit terakhir, Mohd Noor Hazrul Mustafa hampir membawa pulang bekalan selesa kepada The Red Warrior namun sepakan percumanya tersasar ke kiri gawang Suffian Abdul Rahman.
Sementara itu, juara bertahan Pahang menceriakan penyokong tuan rumah apabila menundukkan pendahulu Liga Perdana Pulau Pinang 2-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur.
Skuad Tok Gajah mula menunjukkan penguasaan dengan jaringan pembukaan pada minit kesembilan hasil rembatan deras Mohd Hafiz Kamal dari luar kotak penalti bagi menembusi gawang yang dikawal oleh Mohd Remezey Nawi.
Tuan rumah kemudian berjaya melengkapkan jaringan kedua lima minit kemudian hasil ledakan Dickson Nwakaeme untuk mencatat keputusan yang berkesudahan Pahang 2 Pulau Pinang 0.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, jaringan Paulo Rangel menerusi sepakan penalti pada minit terakhir perlawanan menjadi penyelamat Terengganu daripada tewas di gelanggang sendiri.
Pada pertemuan malam ini, Perak terlebih dahulu membolosi gawang tuan rumah berikutan kesilapan pemain pertahanan yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya ekoran asakan pemain import Perak Woong Namkung pada minit ke-45, yang menyebabkan Zubir Azmi tertendang bola ke gawang sendiri.
Pada perlawanan suku akhir kedua, Kelantan menanti kunjungan Sime Darby di Stadium Sultan Muhammad IV manakala Perak akan berdepan Terengganu - kedua-dua perlawanan berlangsung pada 21 April.
Pada 22 April pula Pulau Pinang menerima kunjungan Pahang dan Johor Darul Takzim II menanti Singapore Lions XII.
#bola sepak #FAM #Kelantan #Pahang #Perak #Piala FA #pulau pinang #Sime Darby #terengganu
;