Piala FA: Kemarau 3,283 hari Arsenal berakhir
Agensi
Mei 18, 2014 09:15 MYT
Mei 18, 2014 09:15 MYT
Kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal menamatkan kemarau 3,283 hari tanpa meraih sebarang kejuaraan apabila berjaya menjulang Piala FA Inggeris pagi tadi.
Skuad pimpinan Arsene Wenger itu menewaskan Hull City 3-2 dalam perlawanan penuh debaran di Stadium Wembley yang menyaksikan gol kemenangan Arsenal hanya diperolehi di waktu tambahan.
Perlawanan penamat musim itu bermula rancak dengan buruan gol sedari awal perlawanan lagi.
Arsenal bagaimanapun kelihatan seperti terpaksa menunggu lebih lama apabila ketinggalan 0-2 seawal minit ke 10 apabila pasukan bukan pilihan Hull City meledakkan jaringan menerusi James Chester dan Curtis Davies.
Namun Arsenal bangkit menguasai perlawanan seterusnya apabila Santi Cazorla merapatkan kedudukan dengan jaringan menerusi sepakan percuma.
Ini diikuti gol penyamaan oleh Laurent Koscielny yang memaksa perlawanan dilanjutkan kepada masa tambahan.
Aaron Ramsey memastikan Arsenal tidak kempunan lagi dengan jaringan kemenangan 3-2 buat the 'Gunners'.
Ini adalah kejuaraan pertama kelab itu sejak 2005.
Tambah manis, ini juga adalah kejuaraan Piala FA kelima buat Wenger, menyamai rekod Sir Alex Ferguson dari kelab Manchester United.