Piala FA Inggeris: Tuchel bangga Chelsea lolos di sebalik jadual padat
Astro Arena
April 18, 2022 08:02 MYT
April 18, 2022 08:02 MYT
CHELSEA 2 PALACE 0
Thomas Tuchel menyatakan kegembiraannya dengan prestasi terkawal dan tahap kesungguhan pemainnya untuk memacu Chelsea ke final Piala FA.
Mereka mara ke final Piala FA ketiga berturut-turut untuk menyamai pencapaian yang pernah dilakar Arsenal di antara 2000-01 dan 2002-03 selepas menumpaskan Crystal Palace 2-0 di Wembley, tengah malam tadi.
Pemain gantian, Ruben Loftus-Cheek, membuka jaringan ke atas kelab kendalian Patrick Vieira itu pada minit ke-65 untuk mencetak gol pertamanya sejak November 2020, sebelum Mason Mount mengesahkan kejayaan mereka ke separuh akhir dengan baki 14 minit permainan.
Ia merupakan jaringan ke-12 peribadinya musim ini sekali gus mengatasi koleksi 11 golnya ketika bersama Derby County dalam Liga Kejuaraan pada musim 2018-19.
Tuchel, yang layak ke setiap 11 perlawanan separuh akhir sepanjang karier pengurusannya, mengucapkan tahniah kepada barisan pemainnya atas usaha mereka di sebalik jadual padat, apatah lagi The Blues baru terkulai di tangan Real Madrid dalam Liga Juara-Juara (UCL), Rabu lalu.
“Ia bukan mudah kerana kami terpaksa mengharungi tiga perlawanan dalam tiga pertandingan berbeza,” katannya kepada ITV Sport.
“Ia bukan mudah, sangat mencabar daripada segi fizikal, saya rasa kami merupakan pasukan yang paling banyak minit di Eropah, ia juga mencabar daripada segi mental.
"Saya fikir persembahan kami sangat terkawal dan begitu bersungguh-sungguh, kami berwaspada dengan serangan balas mereka. Memang sukar, lawan menukar sistem dua kali, kami tidak boleh alpa langsung walaupun seminit."
Tuchel turut memberikan pujian khas terhadap Loftus-Cheek, yang kali terakhir menyumbangkan gol pada Mei 2019.
“Dia cukup mantap ketika bertemu Southampton dan Real Madrid, dia layak untuk beraksi,” katanya.
"Kami tahu Ruben akan memberi impak besar di bangku simpanan. Jadi saya sangat gembira.
"Dia menyembunyikan bakat dan potensinya untuk sekian lama. Dia mampu menghasilkan persembahan yang memukau boleh semua orang di atas padang. Keyakinannya makin berkembang."
Kelab London itu akan berentap dengan Liverpool -- menumbangkan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City kelmarin-- dalam perlawanan akhir selepas ditewaskan lawan sama menerusi sepakan penalti dalam perebutan Piala Liga Inggeris (EFL), Februari lalu.
"Saya gembira untuk menjadi sebahagian daripadanya lagi, saya tidak boleh terbawa-bawa kerana ia satu kejohanan yang besar. Kami akan bersedia," tambahnya.