Piala FA: Hatrik Arif Aiman pastikan JDT ke final dengan pesta gol ke atas Selangor

Astro Arena
Jun 26, 2023 23:47 MYT
Pemain JDT Arif Aiman Mohd Hanapi meraikan jaringan bersama Diogo Luis Santo ketika menentang Selangor FC pada perlawanan separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto BERNAMA
JUARA bertahan, Johor Darul Ta'zim FC (JDT), menepati ramalan mara ke final Piala FA 2023 dengan berpesta gol 4-0 ke atas Selangor FC dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.
Hatrik Arif Aiman Hanapi dalam separuh masa pertama serta satu gol daripada Fernando Forestieri dalam babak berikutnya sudah cukup untuk menceritakan malam gemilang buat Harimau Selatan.
Arif Aiman meletakkan tuan rumah di depan seawal minit ke-20 apabila menyudahkan satu gerakan serangan balas pantas yang dimulakan Forestieri.
Pemain negara itu kemudian menggandakan jaringannya berselang 13 minit, kali ini menerusi gerakan solo dan rembatan deras dari luar kotak penalti.
Bintang muda berusia 21 tahun itu kemudian melengkapkan hatriknya pada minit ke-38, juga hasil gandingannya dengan Forestieri.
Forestieri selepas itu hanya memerlukan dua minit selepas waktu rehat untuk menambah derita Selangor biarpun dia kelihatan menarik Khuzaimi Piee sebelum menewaskan Khairulazhan Khalid.
Selangor melakukan asakan bertali arus untuk merapatkan jurang tetapi kekentalan penjaga gol JDT, Syihan Hazmi Mohamed, sukar ditembusi sehingga wisel penamat.
JDT seterusnya akan mencongak pertemuan dengan Kuala Lumpur City FC bagi perebutan gelaran di venue sama bulan depan.
Keputusan Liga Super:
KELANTAN UNITED FC 0 SABAH FC 3
NEGERI SEMBILAN FC 1 PENANG FC 1
#JDT #final #Piala FA #Johor
;