Piala FA: 'Gomo Kelate Gomo' bukan tanda perang dunia ketiga bermula - Annuar
Wan Syamsul Amly
Mei 23, 2015 16:38 MYT
Mei 23, 2015 16:38 MYT
Laungan 'Gomo Kelate Gomo' The Red Warriors (TRW) dilihat akan menyuntik semangat pemain untuk mempamer aksi paling profesional mereka pada perlawanan akhir piala FA menentang Lions XII di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, penyokong Kelantan juga disifatkan akan mempamerkan sikap dan keletah sorakan dalam gaya tersendiri kepada pasukan mereka malam ini.
"Ini bukan perang dunia ketiga, Kelantan datang ke Stadium Bukit Jalil untuk menunjukkan prestasi terbaik dan selebihnya (keputusan) akan ditentukan tuhan.
"Tidak timbul isu untuk menakut-nakutkan penyokong lain yang mengatakan penyokong Kelantan terlampau agresif sewaktu berada di stadium, itu hanya persepsi. Kita sudah menunjukkan contoh tauladan baik selama ini dan sentiasa menghormati peraturan di stadium," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Annuar mengulas kenyataan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.net), Mohd Khairi Yazid yang mahu penyokong TRW menjaga disiplin sepanjang perlawanan akhir Piala FA malam ini.
Mohd Khairi turut berharap, penyokong tidak membuat perkara yang boleh mencetuskan kontroversi pada perlawanan akhir itu.
Dalam pada itu kata Annuar, penyokong juga tidak boleh dipersalahkan seandainya berlaku sesuatu yang tidak diingini di dalam mana-mana perlawanan bola sepak.
"Banyak orang lupa mutu pengadilan yang lemah boleh menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong Kelantan atau mana-mana negeri.
"Kita perlu sama-sama menjaga perlawanan, penyokong, pemain dan pengadil juga termasuk dalam isu ini.
"Isu pengadilan lemah bukan sahaja berlaku di negara ini. Penyokong dan pemain di England sendiri akan merasa tidak puas hati jika mutu pengadilan lemah," ujarnya.
Dalam pada itu ketika ditanya risiko rusuhan yang dikatakan beberapa blog mungkin terjadi seandainya Kelantan tewas malam ini, ini kata Annuar;
"Kita kalah banyak kali juga tahun ini, rasanya tidak ada rusuhan atau perkara negatif terjadi. Saya tahu penyokong Kelantan akan mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi malam ini.
"Sekarang ini, kalau kita lihat penyokong negeri lain turut datang di Kota Bharu jika ada perlawanan bertemu Kelantan. Mereka tidak takut, ini bukti penyokong Kelantan tidak bermasalah dan semuanya berjalan baik sehingga akhir perlawanan."
Kelantan yang muncul juara pada 2012 dan 2013, mara ke final menerusi kemenangan agregat 3-2 ke atas juara bertahan Pahang pada separuh akhir.
Lions XII pula melangkah ke final menerusi peraturan gol tempat lawan walaupun terikat 4-4 secara agregat dalam satu lagi aksi separuh akhir, berdepan Terengganu, Sabtu lepas.
Pada Jumaat, Pengendali TRW Azraai Khor memberi amaran awal mahu Piala FA akan kekal di bumi Malaysia apabila turun menentang LionsXII.
Azraai dilihat seorang jurulatih yang berprofil tinggi kerana telah menjulang lapan piala ketika mengendalikan Kedah dan Negeri Sembilan sebelum ini.