Harapan Chelsea untuk sekurang-kurangnya menjuarai Piala FA musim ini masih cerah apabila berjaya mengalahkan Manchester United dengan kemenangan 1-0 pada perlawanan suku akhir ulangan di Stamford Bridge hari ini.

Jaringan penyerang dari Senegal, Demba Ba sudah cukup untuk membawa Chelsea ke separuh akhir bertemu dengan Manchester City di Stadium Wembley pada 14 April.

United yang memulakan aksi tanpa kelibat penyerang sensasi, Wayne Rooney yang tercedera dan Robin Van Persie yang berada di bangku simpanan, hanya menggunakan Danny Welbeck dan Javier Hernandez di barisan hadapan.

Asakan demi asakan pada separuh masa pertama oleh kedua-dua pasukan gagal membuahkan gol sebelum Demba Ba memecahkan kebuntuan pada awal separuh masa kedua.

Banyak percubaan dilakukan kemudian namun tiada gol terhasil sehingga wisel penamat.

Chelsea mara dengan kemenangan 1-0.