Piala FA: Bojan Hodak bukan ahli silap mata, akui KL City berdepan masalah pembayaran gaji

Astro Arena
Jun 26, 2023 07:00 MYT
Hodak tidak berselindung dalam mendedahkan pasukannya sedang berdepan masalah pembayaran gaji pemain. - Gambar fail
KETUA jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak, mengakui dirinya bukan ahli silap mata di sebalik kejayaan membawa pasukan itu mara ke final Piala FA 2023.
KL City mara ke final selepas menewaskan Terengganu FC 4-2 dalam penentuan sepakan penalti aksi separuh akhir di Gong Badak semalam selepas terikat tanpa jaringan sepanjang 120 minit.
Ia merupakan tahun ketiga berturut-turut skuad Warga Kota itu layak ke final selepas menjuarai Piala Malaysia 2021 dan muncul naib juara Piala AFC tahun lalu.
Di sebalik kejayaan itu, Hodak tidak berselindung dalam mendedahkan pasukannya sedang berdepan masalah pembayaran gaji pemain.
"Anda tahu satu perkara menarik? Selama 30 tahun, kelab ini tidak melakukan apa-apa," katanya seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Selama 30 tahun mereka berada di bawah dalam divisyen pertama atau kedua.
"Stanley (Bernard, Ketua PeGawai Eksektif KL City) ke hulu ke hilir macam orang gila mendapatkan bon, bajet dan penaja, dia memang seorang yang sabar.
"Gaji adakalanya lewat adakala tepat pada masanya, tiada padang latihan, tiada segalanya tetapi tiga tahun berturut-turut (ke final)," katanya.
Ditanya sama ada dia merupakan faktor kejayaan KL City, Hodak menjawab: "Mungkin kerana kami memilih pemain dengan karakter yang tepat. Pujian sentiasa diberikan kepada pemain."
#KL City #Terengganu FC #tunggakan gaji #Bojan Hodak
;