Piala FA: Arsenal lakar sejarah tumpaskan Aston Villa untuk muncul juara

Astro Arena
Mei 31, 2015 12:00 MYT
Arsenal mencipta sejarah tersendiri menjadi pasukan pertama menjulang piala itu sebanyak 12 kali. - Foto AFP
Arsene Wenger menjadi jurulatih kedua sepanjang 144 tahun sejarah Piala FA Inggeris untuk menjulang piala berprestij itu sebanyak 6 kali apabila membantu Arsenal menumpaskan Aston Villa 4-0 pada perlawanan akhir malam tadi.
Juara bertahan Arsenal sebelum itu kembali ke Stadium Wembley menentang Aston Villa dengan misi mempertahankan kejuaraan selain optimis mampu mencipta sejarah tersendiri menjadi pasukan pertama menjulang piala itu sebanyak 12 kali.
The Gunners bermula garang menerusi tandukan Laurent Koscielny namun berjaya ditepis keluar penjaga gol lawan.
Pesta gol Arsenal bermula pada minit ke 40 apabila sepakan volley Theo Walcott berjaya meletakkan Arsenal di hadapan, sekaligus mendahului 1-0.
5 minit masuk babak kedua Arsenal menggandakan kedudukan hasil sepakan jarak jauh Alexis Sanchez.
Kemudian, berpunca daripada sepakan penjuru, Arsenal meledak gol ketiga menerusi tandukan kapten pasukan Per Mertesacker.
Olivier Giroud menyempurnakan hari bersejarah buat Arsenal pada masa kecederaan selepas mudah menampan masuk untuk gol keempat.
Arsenal berjaya mempertahankan Piala FA Inggeris buat kali kedua sejak kali pertama melakukannya pada musim 2002/2003.
#Arsenal #Aston Villa #bola sepak #Piala FA
;