Piala FA 2024: Laluan mudah buat juara bertahan JDT

Bernama
Mei 16, 2024 05:40 MYT
Melalui undian, JDT dilihat meraih lawan mudah dengan mengetuai 12 lagi pasukan Liga Super serta tiga pasukan daripada Liga A1 Semi Pro. - Gambar FB Malaysian Football League
KUALA LUMPUR: Juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) mendapat laluan mudah untuk mempertahankan kejuaraan Piala FA buat kali ketiga berturut-turut apabila menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC di laman sendiri di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dalam pusingan 16 terbaik pada edisi 2024.
Melalui undian pada Khamis, juara Harimau Selatan dilihat meraih lawan mudah dengan mengetuai 12 lagi pasukan Liga Super lain serta tiga pasukan daripada Liga A1 Semi Pro pada pusingan kalah mati itu.
JDT pada musim lepas merangkul kejuaraan Piala FA setelah menumpaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 2-0 hasil jaringan jarak jauh Hong Wan dan ledakan, Leandro Velazquez.
Kedah Darul Aman (KDA) FC turut meraih laluan mudah berdepan cabaran wakil Liga A1 Semi Pro, Bukit Tambun FC sementara naib juara Piala FA KL City akan menentang Kuching City FC yang dibimbing pengendali dari Singapura, Aidil Sharin Sahak.
Selangor FC pula akan menguji Negeri Sembilan FC sementara Terengganu FC akan berdepan cabaran Perak FC.
PDRM FC pula hampir pasti tidak berdepan masalah mengatasi cabaran satu lagi wakil Liga A1 Semi Pro, Malaysian University.
Sri Pahang yang dibimbing Fandi Ahmad pula akan menghadapi saingan Penang FC sementara Sabah FC turut berdepan cabaran mudah bertemu Kuala Lumpur Rovers FC.
Perlawanan pusingan 16 Piala FA akan bermula pada 13 Jun ini dengan aksi final akan berlangsung pada Ogos.
Peringkat suku akhir dan separuh akhir dijalankan secara timbal balik. - BERNAMA
#JDT #Piala FA #KDN FC #Harimau Selatan
;