Piala EFL: Liverpool dimalukan Tottenham
Astro Arena
Januari 9, 2025 09:50 MYT
Januari 9, 2025 09:50 MYT
LUCAS Bergvall muncul wira Tottenham Hotspurs selepas jaringan lewatnya memacu The Lilywhites membawa bekalan tipis selepas menewaskan Liverpool 1-0 dalam saingan separuh akhir pertama Piala EFL di laman sendiri, awal pagi tadi.
Gol pertama Bergvall itu hadir ketika perlawanan berbaki empat minit di Stadium Tottenham Hotspur, dengan mereka akan membuat perhitungan sekali lagi dalam aksi separuh akhir kedua di Anfield, bulan depan.
Spurs berpeluang mendahului lebih awal menerusi Dominic Solanke yang menewaskan Alisson Becker pada minit ke-79, namun jaringannya dinafikan selepas pengadil melakukan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) dan menunjukkan dia berada dalam kedudukan ofsaid.
Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool - menyasarkan untuk mara ke pusingan akhir berturut-turut buat kali pertama sejak rekod empat kali berturut-turut antara tahun 1981 dan 1984 - optimis mampu melangkah walaupun tewas awal pagi tadi.
Untuk rekod, Bergvall menjadi pemain termuda iaitu berusia 18 tahun 341 hari yang menjaringkan gol untuk Spurs dalam saingan Piala EFL sejak Gareth Bale pada September 2007 ketika berusia 18 tahun 72 hari ketika berdepan Middlesbrough.