Piala EFL: Marcus Rashford tiada masa untuk kecewa
Astro Arena
Disember 22, 2022 10:20 MYT
Disember 22, 2022 10:20 MYT
MAN UTD 2 BURNLEY 0
Marcus Rashford mengisytiharkan "tiada masa untuk mengasihani dirinya sendiri" selepas menjaringkan gol dalam kepulangannya ke Manchester United selepas Piala Dunia Qatar 2022 yang menghampakan bersama England.
Christian Eriksen dan Rashford mencetak nama selaku penjaring ketika United menang 2-0 ke atas Burnley yang mendapat tunjuk ajar Vincent Kompany untuk mara ke suku akhir Piala Liga Inggeris (EFL) di Old Trafford, pagi ini.
Rashford menjaringkan tiga gol di Qatar sebelum England disingkirkan Perancis dalam suku akhir berikutan kegagalan Harry Kane menyempurnakan sepakan penalti di hujung perlawanan dalam kekalahan 1-2.
Penyerang itu telah terlibat dengan 13 gol dalam 12 penampilan Piala EFL apabila meledak sembilan kali dan mencipta empat bantuan jaringan bagi memastikan tumpuannya kekal bersama United dan bukannya kekecewaan di Timur Tengah.
“Adalah bagus dapat beraksi semula tetapi ia adalah perlawanan yang sukar dan juga adalah bagus untuk meraih kemenangan sebagai bekalan ke perlawanan seterusnya,” katanya kepada Sky Sports.
“(Kekalahan Piala Dunia) lebih menjurus kepada kesan emosi kerana ia adalah perasaan yang mengecewakan untuk tersingkir dan anda perlu bangkit.
"Tiada masa untuk mengasihani diri sendiri. Anda perlu menerima hakikatnya dan bersyukur berkesempatan untuk melakukannya.
"Seronok berada dalam kempen itu."