Piala EFL: Man United diundi bertemu Forest
Astro Arena
Januari 12, 2023 09:05 MYT
Januari 12, 2023 09:05 MYT
MANCHESTER United akan menentang Nottingham Forest dalam separuh akhir Piala EFL, manakala Newcastle United bertemu Southampton.
Skuad kendalian Erik ten Hag menewaskan pasukan divisyen ketiga Charlton Athletic 3-0 dalam suku akhir dan akan bertandang ke City Ground untuk pertembungan separuh akhir pertama, ketika United mencari trofi pertama sejak 2017.
Forest bergelut dalam Liga Perdana Inggeris untuk mengelak penyingkiran tetapi menewaskan Wolves menerusi penentuan sepakan penalti selepas seri 1-1 awal pagi tadi, hanya tinggal dua perlawanan sebelum menempah slot ke Stadium Wembley.
Newcastle mendominasi dalam kemenangan 2-0 ke atas Leicester City untuk mara ke separuh akhir pertandingan buat kali pertama sejak 1976 dan akan melawat pasukan tercorot Liga Perdana Inggeris, Southampton untuk perlawanan pertama.
Pasukan kendalian Nathan Jones mencatatkan kemenangan 2-0 dalam suku akhir ke atas Manchester City, menjadi pasukan ketiga yang menewaskan City kendalian Pep Guardiola dalam Piala EFL, selepas West Ham dan Manchester United (dua kali).
Pusingan pertama pertembungan separuh akhir akan dimainkan pada 23 Januari, dengan perlawanan kedua menyusul seminggu selepas itu.