Piala EFL: Man City singkir Liverpool, Haaland ledak gol ke-24
Astro Arena
Disember 23, 2022 09:45 MYT
Disember 23, 2022 09:45 MYT
ERLING Haaland menjaringkan gol ke-24 musim ini dan Kevin De Bruyne mempamerkan aksi cemerlang ketika Manchester City menewaskan penyandang juara, Liverpool 3-2 untuk mara ke suku akhir Piala EFL, awal pagi tadi.
Dua gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) beraksi di Stadium Etihad dalam perlawanan pertama selepas tamat rehat Piala Dunia, dan juara liga itu yang berjaya menoktahkan kemenangan.
Haaland membuka jaringan, hanya untuk Fabio Carvalho menyamakan kedudukan.
Riyad Mahrez kembali meletakkan City di hadapan pada permulaan separuh masa kedua, namun Mohamed Salah segera menyamakan kedudukan bagi meledak gol yang ke-15 musim ini.
De Bruyne yang menakjubkan kemudian melakukan bantuan jaringan kedua perlawanan buat Nathan Ake, dan skuad kendalian Jurgen Klopp gagal menghasilkan jaringan penyamaan buat kali ketiga, sekaligus tewas buat kali pertama kepada City dalam enam perlawanan. - Astro ARENA