Piala E-Asia: E-Rimau sasar lolos ke peringkat kalah mati
Bernama
Januari 30, 2024 12:30 MYT
Januari 30, 2024 12:30 MYT
SEPANG: Skuad E-Rimau menyasarkan untuk mara ke peringkat 16 terbaik pada saingan bola sepak elektronik Piala E-Asia AFC 2023, yang julung kali diadakan bermula 1-5 Feb ini di Doha Festival City Mall, Doha, Qatar.
Jurulatih skuad E-Rimau negara, Shaharil Shaifuddin Shaharuddin berkata sasaran itu dianggap realistik berdasarkan prestasi semasa skuad negara ketika menyertai kem latihan pusat.
"Keputusan aksi persahabatan kita agak baik ketika kem latihan yang dijalankan sebelum ini, menentang India dan Vietnam, kedua-duanya kita menang.
"Jadi kita lihat keputusan ini bagi sedikit harapan untuk kita pergi jauh. Untuk permulaan, kita sasar untuk melepasi peringkat kumpulan dulu kemudian barulah kita fokus peringkat-peringkat seterusnya," katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini, sebelum berlepas ke Doha untuk menyertai kejohanan berkenaan yang dianjurkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia sempena Piala Asia 2023 yang sedang berlangsung di Qatar.
Mengulas lanjut, Shaharil Shaifuddin berkata Jordan merupakan pencabar utama bagi anak-anak buahnya pada saingan peringkat kumpulan, namun beliau tidak mahu memandang rendah keupayaan Korea Selatan dan Bahrain.
"Jordan mungkin akan jadi pencabar terkuat kerana mereka mempunyai pemain yang berstatus juara dunia tahun lalu. Tetapi kita sentiasa positif sebab format permainan adalah 2 vs 2 dan bukannya bergantung hanya kepada seorang individu, jadi peluang itu terbuka untuk mana-mana pasukan," katanya.
Sementara itu, pemain negara Mohamad Nor Haikal Mohamad Noh optimis keputusan positif mampu dicapai bersama pasangannya Muhamad Khairul Abdul Aziz memandangkan mereka sudah lebih lima tahun digandingkan.
"Saya rasa keserasian kami sudah cukup matang malah baru-baru ini dalam aksi persahabatan juga kami berjaya menang. Saya harap momentum ini dapat diteruskan supaya dapat pergi ke peringkat yang lebih jauh," katanya.
Malaysia bakal membuka tirai kempen berdepan Jordan pada 1 Feb dengan perlawanan akan berlangsung dengan format timbal balik, sebelum menamatkan aksi kumpulan E bertemu Bahrain dan Korea Selatan pada 2 Feb.
Mengikut format kejohanan, dua pasukan teratas dari kesemua enam kumpulan, bersama empat pasukan terbaik tempat ketiga akan mara ke peringkat kalah mati untuk bersaing bagi merebut kejuaraan itu.
-- BERNAMA