Piala Dunia Wanita: England yakin muncul juara tahun ini
Ian Johan Ariff
Jun 28, 2019 14:59 MYT
Jun 28, 2019 14:59 MYT
POPULARITI bola sepak wanita telah meningkat secara dramatik dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan pengurus England, Phil Neville berharap pihaknya dapat memanfaatkannya.
Skuad England berharap dapat memberi inspirasi dan membina legasi bola sepak wanita bermula dengan memenangi kejohanan besar pertama untuk negara itu.
Neville yang mengambil alih tanggungjawab sebagai pengurus England pada Januari 2018, dapat merasakan tahun ini amat berbeza dan sesuatu yang istimewa akan berlaku kali ini.
“Kami mengadakan kem tahun lepas dan kami meletakkan sasaran dalam tempoh 12 bulan dan semua sepakat berkata mereka mahu menang Piala Dunia.
“Lebih daripada itu mereka mahu dunia mengaitkan mereka dengan wanita yang digeruni dan itu mantera kami,” kata Neville.
England mara ke separuh akhir Piala Dunia Wanita FIFA 2019 di Perancis selepas membenam Norway 3-0, dimana gol the Lioness dijaringkan Lucy Bronze, Jill Scott dan Ellen White.
Mereka kini berdepan pemenang satu lagi saingan suku akhir di antara juara bertahan Amerika Syarikat dengan tuan rumah, Perancis.
Neville menganggap persembahan anak buahnya menentang Norway adalah yang terbaik sepanjang dia menjadi pengurus skuad itu dan tidak kisah siapa lawan mereka di separuh akhir nanti.
Tahun lepas, England berjaya mencatat keputusan seri 2-2 dengan Amerika dan mengalahkan Perancis 4-1 dalam Piala SheBelieves.
Pencapaian the Lioness setakat ini adalah mara ke separuh akhir Piala Dunia 2015 dan juga Euro 2017 di bawah kendalian Mark Sampson.