Piala Dunia Terjun FINA: Persiapan singkat punca penerjun negara gagal menyerlah
Astro Arena
Oktober 24, 2022 06:45 MYT
Oktober 24, 2022 06:45 MYT
JURULATIH skuad terjun negara, Datuk Leong Mun Yee, mengakui tempoh persiapan singkat menjadi punca skuad negara gagal mempamerkan prestasi terbaik dalam Kejohanan Terjun Dunia FINA di Jerman.
Malaysia menghantar tiga wakil dalam kejohanan itu yang terdiri daripada Datuk Pandelela Rinong, Chew Yi Wei dan Bertrand Rhodict tetapi terpaksa akur pulang dengan tangan kosong.
Pandelela menamatkan saingan 10 platform individu wanita di tempat keenam dengan catatan 263.45 mata.
Hari terakhir kejohanan pula, trio negara itu sekadar menamatkan acara 3 meter dan 10 meter berpasukan campuran di kedudukan kelima dengan 265 mata.
"Dalam Piala Dunia kali ini, kami hanya menghantar tiga penerjun kerana kami hanya mengetahui bahawa ia akan dijalankan pada minit-minit akhir," kata Mun Yee kepada wartawan Nadi Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Persiapannya juga agak singkat, hanya sebulan dan sudah pasti keputusannya tidak seperti yang diharapkan.
"Sejujurnya, yang berpeluang untuk mendapatkan pingat hanyalah Datuk Pandelela dalam acara 10 meter individu," katanya.