Piala Dunia: Speedy Tigers tewas kepada Belanda pada aksi pembukaan
Bernama
Januari 14, 2023 05:45 MYT
Januari 14, 2023 05:45 MYT
KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara terpaksa akur dengan kekuatan juara tiga kali Belanda, apabila tewas 4-0 dalam aksi sulung Kumpulan C kejohanan hoki Piala Dunia di Stadium Birsa Munda, Rourkela di India, petang semalam.
Belanda, pasukan di ranking ketiga dunia, ternyata berada dalam kelas tersendiri menerusi kepantasan dan keupayaan teknikal dimiliki barisan pemain sekali gus memaksa skuad Speedy Tigers bekerja keras sepanjang perlawanan.
Penjaga gol negara, Muhammad Hafizuddin Othman bertindak cemerlang menyelamatkan gawang daripada beberapa percubaan berbahaya Belanda sebelum akhirnya bolos selepas Thijs Van Dam meledak gol padang pada minit ke-20 selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan negara.
Empat minit berselang, gawang skuad bimbingan A. Arul Selvaraj dibolosi kali kedua apabila Jip Janssen tenang menyempurnakan pukulan penalti selepas kekasaran dilakukan Muhammad Amirul Hamizan Azhar terhadap Jonas de Geus.
Malaysia berpeluang untuk merapatkan kedudukan, namun pukulan sudut penalti Faizal Saari pada minit ke-28 berjaya ditepis penjaga gol Pirmin Blaak.
Tatkala pasukan negara sedang memburu jaringan, Belanda bijak menghidu ruang dan peluang untuk melebarkan penguasaan selepas Teun Beins menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-48.
Seakan perlawanan berkesudahan 3-0, kelalaian benteng pertahanan negara terus dihukum Belanda selepas Jorrit Croon mudah menolak bola masuk pada penghujung aksi sekali gus membantu pasukan meraih permulaan sempurna.
Bercakap selepas perlawanan, Arul Selvaraj mengakui berdepan Belanda selaku gergasi hoki dunia bukan tugas mudah, namun katanya apa yang positif pemain berjaya menerapkan taktikal direncana biarpun masih terdapat kelemahan perlu diperbaiki.
"Sedikit sebanyak penambahbaikan yang kita perlu daripada perlawanan ini ialah dari (aspek) kesilapan individu. Individu itu mesti ambil tanggungjawab untuk memperbaikinya, kadang-kadang kesilapan berlaku kerana tekanan kepada pemain dan kurang sokongan dari rakan sepasukan di padang.
"Untuk lawan Chile, kita sudah tentu akan ubah sedikit corak permainan untuk kita keluar (beraksi) dan capai kemenangan dalam perlawanan kedua," kata jurulatih berusia 48 tahun itu.
Malaysia, yang menghuni ranking ke-11 dunia, dijadual berdepan Chile (ke-22 dunia) Isnin ini di venue sama sebelum mengharungi aksi terakhir kumpulan menentang pasukan nombor sembilan dunia, New Zealand di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, Khamis depan.
Belanda kini menerajui carta Kumpulan C berkongsi tiga mata bersama New Zealand di tempat kedua selepas turut merakam kemenangan 3-1 ke atas Chile pada satu lagi aksi semalam.
Mengikut format kejohanan, juara kumpulan akan terus mara ke suku akhir, manakala pasukan di tempat kedua dan ketiga akan beraksi menentang pasukan Kumpulan D (England, India, Sepanyol, Wales) pada pusingan kalah mati untuk slot ke suku akhir.
Penyertaan di India bakal menjadi penampilan kesembilan skuad hoki negara di Piala Dunia sejak diperkenalkan pada 1971 dengan pencapaian terbaik adalah meraih tempat keempat pada edisi 1975 ketika Malaysia menjadi tuan rumah.
-- BERNAMA