Piala Dunia: Speedy Tigers berputih mata, terlepas aksi suku akhir di tangan Sepanyol
Bernama
Januari 22, 2023 23:50 MYT
Januari 22, 2023 23:50 MYT
KUALA LUMPUR: Impian Speedy Tigers untuk mara ke suku akhir musnah selepas dikecewakan Sepanyol 3-4 menerusi penentuan penalti shootout "sudden death" dalam saingan "Crossover" pada Piala Dunia 2023 di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India hari ini.
Kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga akhir perlawanan dengan Malaysia menjaringkan dua gol padang menerusi Faizal Saari (minit ke-34) and Shello Silverius (minit ke-48) sementara Sepanyol memperoleh gol sulung mereka menerusi penalti strok Marc Miralles pada minit ke-40 dan gol padang Xavier Gispert yang menyusul seminit kemudian.
Keputusan seri itu menyaksikan penentuan penalti shootout yang berakhir dengan kesudahan seri 3-3 dengan penjaga gol simpanan Sepanyol Mario Garin yang menggantikan penjaga gol utama Adrian Rafi muncul wira selepas menafikan pukulan dua pemain Malaysia, kapten Muhammad Marhan Mohd Jalil dan penyerang, Shello - sementara Firhan Ashari, Faizal dan Shahmie Irfan Suhaimi memastikan bola pukulan mereka menerjah gawang.
Keputusan seri itu memaksa penentuan menerusi penalti shootout "sudden death" dilaksanakan dan kesudahan yang menyebelahi Sepanyol selepas Marc berjaya menewaskan penjaga gol negara Muhammad Hafizuddin Othman sementara Firhan Ashaari gagal menyempurnakan pukulannya.
Walaupun terlepas peluang ke suku akhir, pujian harus diberikan kepada anak buah A Arul Selvaraj apabila berjaya mengheret Sepanyol yang dibimbing Maximiliano Caldas, sehingga ke penentuan penalti shootout "sudden death".
Terdahulu, Malaysia yang dilihat menerapkan corak permainan berhati-hati selain hantaran kurang tepat di kawasan Sepanyol menyukarkan usaha mereka merencanakan pergerakan berbahaya untuk cuba merobek gawang lawan pada separuh pertama perlawanan.
Sepanyol yang jelas menguasai bola pula gagal memanfaatkan peluang keemasan untuk menjaringkan gol pendahuluan apabila penjaga gol negara Muhammad Hafizuddin bertindak cemerlang menafikan beberapa percubaan termasuk menampan tolakan Enrique Gonzalez yang berpunca daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-11 disusuli percubaan Joaquin Menini pada minit ke-20.
Aksi babak kedua yang berlangsung rancak menyaksikan Speedy Tigers mengejutkan skuad The Red Sticks apabila penyerang prolifik negara, Faizal Saari membuka tirai jaringan menerusi gol padang , empat minit selepas perlawanan bersambung.
Bagaimanapun, kedudukan kembali seimbang apabila Marc tenang menyempurnakan penalti strok pada minit ke-40 dan Sepanyol hanya memerlukan tempoh seminit untuk berada di depan menerusi jaringan padang Xavier Gispert, yang menyudahkan gerakan cantik dari sebelah kanan oleh Pere Amat.
Tersentak dengan situasi berkenaan, Malaysia yang melancarkan serangan demi serangan sebaik suku terakhir bersambung kurang bernasib baik apabila jaringan penyamaan Amirul Azahar dibatalkan pengadil Marcin Grochal selepas Faizal didapati tergelincir sehingga menyaksikan bola terkena di bahagian belakang kayunya sebelum melakukan hantaran kepada Amirul.
Speedy Tigers yang tidak mudah menyerah kalah akhirnya berjaya menyamakan kedudukan apabila Shello Silverius memanfaatkan situasi kelam kabut di depan gawang lawan sebelum menguis bola menewaskan penjaga gol Sepanyol Adrian pada minit ke-48, sekali gus mengheret perlawanan ke aksi penalti shootout.
Malaysia memulakan kempen Piala Dunia kali ini dengan langkah kiri apabila tumpas 0-4 kepada juara tiga kali, Belanda sebelum bangkit menewaskan Chile, 3-2 dan menutup saingan Kumpulan C dengan mengejutkan New Zealand juga, 3-2.
Pasukan kebangsaan layak ke saingan 'Crossover' dengan muncul naib juara Kumpulan C di belakang juara, Belanda.
Perjuangan Speedy Tigers di India masih belum tamat apabila berdepan pasukan tercorot Kumpulan A Afrika Selatan pada 26 Jan ini bagi perlawanan tempat kesembilan hingga ke-16 di di Stadium Birsa Munda, Rourkela.
Bercakap selepas perlawanan, Arul Selvaraj yang menyifatkan Speedy Tigers tewas bermaruah tetap berbangga dengan semangat juang tinggi dipamerkan anak buahnya kerana berjaya memberi tentangan sengit kepada Sepanyol.
"Kecewa tetap kecewa namun kita akan habiskan kekecewaan kita malam ini kerana esok merupakan hari baharu untuk kami dan seterusnya fokus menentang Afrika Selatan," katanya.
Beliau juga mengharapkan rakyat Malaysia terus memberikan sokongan jitu kepada skuad negara kerana ianya mampu menyuntik motivasi kepada Speedy Tigers untuk menamatkan kempen sebagai pasukan kesembilan terbaik kali ini.
-- BERNAMA